Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

King Coco ketua Srikandi Bersatu Bagan Serai?

Selebriti media sosial yang tular beberapa tahun lalu dengan pelat Mat Salleh, King Coco kembali menjadi bualan hari ini selepas dikatakan menang jawatan ketua Srikandi Bersatu bahagian Bagan Serai di Perak.

Khabar mengejutkan itu didedahkan melalui satu rakaman video yang mula disebarkan semalam melalui Facebook Bagan Serai Kampung Halamanku.

Dalam video tersebut, King Coco atau nama sebenarnya Marshaira Ismail yang bertanding untuk pemilihan Bahagian 2020/2022 memenangi jawatan tersebut apabila mendapat 62 undi.

Ibu kepada seorang anak itu dikatakan menewaskan dua lagi pencabarnya.

Selain video tersebut, satu poster yang menunjukkan Coco, 22 tahun, sebagai calon nombor tiga jawatan itu turut tersebar di media sosial.

Bagaimanapun setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Bersatu berkenaan perkara itu.

Ketua Srikandi Perak Nor Haslinda Zakaria ketika dihubungi Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kemenangan Coco kerana belum menerima maklumat penuh berkenaannya.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan reaksi Coco bagi mengulas tentang khabar kemenangannya itu.

Walaupun terdapat pihak yang menyokongnya, ada juga segelintir warga maya menyuarakan rasa tidak senang terhadap perkembangan itu.

Antaranya akaun Twitter @NaratifRakyat yang menyifatkan Coco tidak sepatutnya diangkat sebagai ketua Srikandi kerana merasakan dia tidak layak untuk memegang jawatan itu.

"@PPBMofficial tak payah la ambik sampah sampah masyarakat macam King Coco. dikenali dengan banyak alasan yang salah...Lantik individu yang boleh menyumbang kepada masyarakat," ciapnya.

Coco sebelum ini mengundang perhatian ramai warga maya apabila mengatakan dirinya berdarah kacukan daripada pelbagai keturunan.

Dia berkahwin ketika berusia 19 tahun pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata.