Zizan enggan dunia lakonan dipenuhi pelakon air mata, 'makcik bawang'
Zizan Razak menyuarakan harapannya untuk melihat lebih ramai pelakon wanita mencontohi keberanian Zahirah MacWilson untuk melakonkan watak lasak.
Bagi pelakon dan pelawak itu, industri seni tanah air ketika ini ibarat ketandusan pelakon wanita yang berani menampilkan ciri dan kebolehan seperti yang dipamerkan Zahirah dalam filem Bulan dan Pria Terhebat.
“Pertama kali saya tengok seorang wanita boleh bawa aksi sehebat tu. Bila tengok aksi yang dilakonkannya, saya fikir 'wow, sungguh dahsyat'.
“Justeru, saya mengalu-alukan kedatangan Zahirah dalam industri tanah air. Harap pelakon wanita lain bersedia untuk menjadikan dia sebagai idola dan belajar buat aksi lasak sepertinya,” katanya.
Jelas Zizan, 35, kecenderungan banyak produksi untuk menampilkan watak "makcik bawang" dan "berlinangan air mata" mungkin turut menjadi sebab kurangnya pelakon wanita yang mampu melakukan aksi berat dan lasak.
“Arena seni tempatan kehausan artis wanita dengan kredbiliti seperti ini. Kita tak nak terlalu ramai artis yang sinonim dengan watak air mata mahu pun membawang semata-mata,” katanya lagi.
Pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak itu ditemui ketika acara tayangan perdana Bulan dan Pria Terhebat di Petaling Jaya baru-baru ini.
Selain Zizan dan Zahirah, turut terlibat menjayakan filem itu ialah Maya Karin, Khir Rahman, Alif Hadi dan Aprena Manrose.
Ia dijadual menjengah pawagam esok.
Untuk rekod, Zahirah pada kebanyakan masa tidak menggunakan khidmat pelakon pendua (body double) bagi menjayakan babak-babak dalam filem genre aksi komedi pertama yang dibintanginya itu.
Naskhah arahan Ghaz Abu Bakar itu berkisahkan Bulan, seorang pelatih pasukan tentera khas Indonesia - watak utama yang dilakonkan Zahirah - tekad mencari adiknya, Melati (Aprena) yang hilang.
Kehilangan Melati dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di Malaysia.
Bulan kemudian bertemu Haris (Zizan), seorang pemandu e-hailing yang sudi membantu untuk menyelamatkan adiknya daripada cengkaman bapa ayam, Agus (Khir Rahman).
Ghaz yang terkenal melalui filem pecah panggung Polis Evo juga boleh dianggap membawa sesuatu yang segar dalam industri perfileman tempatan apabila tidak menjadikan pelakon lelaki sebagai teraju utama naskhah itu.
Mengulas hal itu, Zizan berkata, walaupun tidak menggalas peranan utama, dia tetap mencabar dirinya untuk membawakan watak Haris dengan baik.
Katanya, watak itu antara tulang belakang yang menggerakkan penceritaan Bulan dan Pria Terhebat.
“Saya terima watak Haris selepas menilai kepentingan watak tersebut. Haris bukan hero, tapi karakter itu penting, tanpanya, cerita tak jalan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai