Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Aprena tak dapat tahan ketawa jadi 'isteri' Sofi Jikan

Pelakon Aprena Manrose mengakui antara cabaran perlu didepani sewaktu menjayakan filem pertamanya adalah apabila dia diberi watak sebagai ‘isteri’ Sofi Jikan dalam naskhah bergenre komedi seram, Jodoh Syaitan.

Kata Aprena, dia yang perlu membawa watak sebagai wanita misteri bernama Mawar mempunyai sifat berlawanan daripada Sofi yang memegang karakter sebagai Megat.

Secara peribadi anak penyanyi dangdut Irwan dan pelakon Allahyarhamah Rosnah Mohd Noor itu menyifatkan Sofi sebagai seorang yang sangat kelakar.

Justeru, menurut Aprena, 26, dia sering gagal mengawal perasaan apabila melihat gelagat dipamerkan aktor itu sewaktu mereka menjalani penggambaran bersama-sama.

“Memang mencabar apabila perlu jalani penggambaran dengan dia sebab watak saya seram manakala dia komedi. Kami dua dunia berbeza.

“Abang Sofi juga sangat kreatif, dia mempunyai terlalu banyak idea. Boleh dikatakan banyak idea dia ‘bantai’ sendiri.

“Tu sebab setiap kali dia buat lawak, saya kena tahan gelak,” katanya ketika ditemui di Mutiara Damansara baru-baru ini.

Selain Aprena dan Sofi, filem mendapat arahan Ismail Bob Hasim yang ditayangkan di pawagam sejak semalam itu turut dijayakan pelakon Jay Iswazir, Fauziah Nawi, Allahyarham Abam Bocey dan Kamarool Yusof.

Mengulas pemilihannya sebagai pelakon Jodoh Syaitan, Aprena atau nama penuhnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia bersyukur apabila laluannya untuk membintangi naskhah tersebut dipermudahkan.

Katanya, penerbit Jodoh Syaitan, Allahyarham Mokharul Shamsul Moktar atau Asey yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu memberikan sepenuh kepercayaan kerana yakin dengan bakat dan kebolehannya.

“Pada awal memang keberatan sebab saya tiada asas berlakon filem, ni bukan drama tapi skrin besar, nanti bolehkah menarik penonton datang pawagam.

“Tapi arwah abang Asey terus memujuk agar saya mencuba. Jika tak kerana arwah, saya mungkin tak berpeluang berlakon Jodoh Syaitan kerana tak kenal arwah (Abam) mahupun pengarahnya sebelum ni,” katanya.

Jodoh Syaitan berkisahkan seorang pemuda bernama Megat (Sofi) yang sering menemui kegagalan dalam percintaan.

Ibu Megat, iaitu Mak Timah watak dilakonkan Fauziah meminta anaknya itu pulang kerana ingin mengahwinkannya dengan wanita bernama Mawar (Aprena).

Namun, pada masa sama, Tok Salleh (Kamarool) sibuk menyuruh dua pengikutnya mencari mayat wanita untuk dipaku bertujuan dijadikan pemuas nafsu.