Penapisan seni: Anwar gesa masyarakat lebih bertoleransi
Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa orang ramai lebih terbuka terhadap pelbagai pandangan.
“Kita perlu lebih bertolak ansur,” katanya ringkas ketika diminta mengulas berkaitan beberapa siri penapisan yang berlaku dalam negara.
Kelmarin, seniman visual Ahmad Fuad Osman menggesa Balai Seni Negara (BSN) menutup pamerannya selepas empat karya seninya dikeluarkan.
Drama Band pula berdepan kontroversi selepas membuat persembahan yang menyindir bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dalam Anugerah Juala Lagu ke-34.
Kumpulan rock itu memohon maaf tetapi menjelaskan persembahan itu “hanya jalan cerita kehidupan, yang kadangkala warnanya tidak kita gemar”.
Anwar sebelum itu menyatakan kebimbangannya berkaitan wacana soal perkauman yang menurutnya kian menghangat.
“Saya utarakan kerana orang-orang politik yang bila berkuasa, itu kecenderungan untuk mempamerkan kekayaan, merompak, kemudian sekarang menggunakan isu perkauman untuk menarik minat golongan miskin yang di bawah.
“Jadi mereka ini sentiasa akan diperalatkan dan kekal miskin.
“Bagi saya prinsipnya mestilah kedamaian dan keadilan, dan dengan cara sedemikian majoriti masyarakat miskin yang terdiri dari orang Melayu Bumiputera dan beberapa kelompok lain akan lebih terjamin sekiranya penekanan kita itu adalah keadilan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ucap utama dalam persidangan berkaitan keamanan serantau anjuran Institut Darul Ehsan.
Acara itu dianjurkan dengan kerjasama Universiti Selangor, Pusat Habibie Indonesia dan Yayasan Keamanan Sasakawa Jepun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai