Ahmad Dhani nafi Dewa 19 sebar fahaman Yahudi
Jika sebelum ini Ahmad Dhani gigih mengunci mulut, kali ini pengasas kumpulan Dewa 19 itu tampil menafikan setiap dakwaan yang mengaitkan kumpulan dari Indonesia itu sebagai ejen menyebar fahaman bangsa Yahudi.
Penafian itu dibuat baru-baru ini, iaitu hampir 10 tahun selepas dakwaan tersebut muncul untuk kali pertama.
Kata Ahmad Dhani, dia akan menjawab segala tuduhan yang tidak pernah dijelaskan kepada umum sebelum ini.
"Ada gerakan kempen hitam (jahat) oleh seseorang terhadap Dewa 19, termasuk ke atas saya.
"Video tu agak viral kira-kira 10, 11 tahun lalu. Video berkenaan berjudul Dewa dan Yahudi, (namun) jangan ditonton video itu... sudah lama sekali.
"Semua yang ada dalam tu mempunyai kandungan hampir 100 peratus tak benar. Ia gabungan cocoklogi (berita palsu) dan kriminologi " katanya dalam sebuah saluran YouTube.
Secara sinis Ahmad Dhani, 47, berkata Dewa 19 sudah gagal menyebarkan fahaman mereka kerana belum ada peminat yang didapati terpesong dan mengubah pendirian mereka setakat ini.
Orangnya masih hidup
"Hampir 10, 11 tahun tiada peminat yang beriman dengan fahaman Yahudi. Adakah ertinya Dewa 19 gagal atau yang video itu terlalu dungu?" katanya sambil tertawa.
Pada masa sama, Ahmad Dhani turut berkata dia tidak tahu-menahu motif sebenar penyebaran video tersebut.
"Saya tak tuduh, mungkin video itu dibuat untuk main-main atau serius, saya pun tak jelas, jadi semua kandungan dibuat bukan saya,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Sedang Ingin Bercinta itu mendakwa terdapat dua individu dianggap dalang dalam pembikinan video tersebut.
"Video dan kaset itu semua diberi gambar piramid dan dibuat oleh seorang bernama Lessin, bukan saya.
"Saya juga tak tahu Lessin itu agamanya apa, tapi yang jelas dia pembuat kulit album tahun 1980-an yang terkenal jadi tiada hubungan segi tiga kulit album itu dengan Dewa 19.
“Termasuk album ketiga gambar semua dianggap simbol iluminati, tapi di kaset itu ditulis oleh Jaidimas. Orangnya masih hidup, dia yang buat kulit album bukan saya.
"Lalu gambar mata itu terus terjebak (dimasukkan) dalam klip video, saya tak ikut (buat), video klip yang katanya ada mata satu," katanya.
Justeru, Ahmad Dhani menggesa mana-mana individu yang memfitnahnya agar segera tampil memohon maaf atas segala dakwaan yang dibuat.
"Kalau mereka yang buat video itu masih hidup saya mohon mereka mohon maaf secara bertulis kerana ini memberikan kebencian orang kepada saya dan Dewa 19," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Dhani berkata, ada pihak yang tampil membuat pengakuan selepas menyedari kesilapan mereka dan permohonan maaf itu diterima.
"Ada juga yang hadir memohon maaf kepada saya kerana mereka terikut dengan video klip tersebut lalu tuduh saya dan Dewa 19 tetapi saya maafkan saja," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai