Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gambus Hadramaut, khazanah warisan Johor

Pembuat gambus Halidan Ithnin adalah insan yang paling gembira apabila Batu Pahat didaftar di bawah Petunjuk Geografi (GI) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi penghasilan alat muzik gambus.

Halidan, 54, yang berkecimpung dalam pembuatan gambus sejak 20 tahun lalu, merupakan seorang daripada dua pembuat gambus Hadramaut di daerah Batu Pahat.

Beliau percaya dengan pengiktirafan itu, gambus yang menjadi warisan Johor akan terus dijaga sekali gus dapat merangsang industri seni kraf dan pelancongan di Johor.

Alat muzik gambus yang begitu sinonim dengan kesenian Johor adalah dari jenis gambus Hadramaut atau dikenali juga gambus Arab yang dibawa dari Yaman oleh pedagang Arab pada abad ke-19.

Gambus, alat muzik Arab yang dinamakan oud, bermaksud kayu; ranting atau tangkai mudah lentur atau juga disebut sebagai sebongkah kayu.

Sebelum ini, produk lain yang turut didaftarkan di bawah GI dan diberikan hak eksklusif kepada pengusaha adalah Tekat Benang Emas, Labu Sayong dan Tembikar Pulau Tiga dari Perak serta Sulaman Keringkam dari Sarawak.

Pengiktirafan GI kepada daerah Batu Pahat pada Disember 2019 bertujuan mempromosikan gambus, produk kraf tangan tempatan ke peringkat lebih tinggi sekali gus memelihara keunikan dan keistimewaannya agar dapat memberi manfaat kepada pengusaha alat muzik berkenaan.

Bagi Halidan, keistimewaan alat muzik gambus Hadramaut Johor ialah pada proses pembuatannya serta bahan asasnya yang menggunakan kayu-kayan tempatan seperti rengas, merawan dan kayu dari pohon buah-buahan seperti durian belanda dan ciku.

Halidan yang juga anak saudara tokoh pembuat gambus Johor yang terkenal sekitar tahun 70-an, Allahyarham Hassan Othman atau lebih dikenali ‘Pak Hassan’ berhasrat menghasilkan gambus yang bercirikan kesenian alam Melayu dan identiti budaya Johor.

“Sebelum ini, dekorasi gambus terikut-ikut pengaruh Arab, tetapi saya berhasrat menghasilkan gambus menggunakan motif flora dan fauna yang ada di Malaysia serta identiti Johor seperti lada hitam,” katanya kepada Bernama ketika ditemu bual di Batu Pahat, baru-baru ini.

Kekalkan pembuatan cara lama

Anak kelahiran Senggarang, Batu Pahat itu turut menjelaskan gambus di daerah Batu Pahat mempunyai keunikan tersendiri dan sehingga kini proses pembuatan alat muzik itu masih mengekalkan ‘cara lama’.

Menurut beliau, kayu-kayan tempatan yang diperoleh dari hutan berdekatan akan diproses secara tradisi dan pengeringan kayu dilakukan dengan menjemurnya di bawah cahaya matahari.

“Selepas dikeringkan, kita asingkan kayu yang berkualiti dan elok untuk dibuat gambus. Kalau kayu baharu, kebiasaannya saya keringkan ikut suhu bilik sahaja.

"Setelah proses layur untuk lengkungkan kayu, baru kita jemur di bawah matahari untuk pastikan lengkungan itu tidak berubah," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Beliau berkata gambus buatan tangan boleh bertahan lama sehingga 20 tahun, namun ia bergantung kepada pemilihan kayu dan gam yang berkualiti.

“Gam penting dalam menentukan kualiti gambus. Kalau gam yang digunakan tu bagus dan bersesuaian, gambus yang dihasilkan akan tahan lama,” katanya sambil menambah gam dari luar negara mungkin tidak sesuai dengan cuaca dan iklim di negara ini.

Penyediaan gambus pula bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan, paling singkat satu atau dua minggu dan paling lama antara dua hingga tiga bulan.

Halidan turut menghasilkan alat muzik tradisional Johor ini di bengkel Industri Budaya, Batu Pahat.

Perhati cara gambus dihasilkan

Halidan yang juga bekas pensyarah sambilan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjelaskan, beliau mempelajari seni pembuatan gambus dengan mengamati teknik penghasilan gambus oleh Allahyarham Pak Hassan yang dianggap sebagai bapa kandungnya sendiri.

“Ketika ‘orang tua’ saya (Pak Hassan) buat gambus, saya buat alat muzik gendang Marwas dan Jidur. Saya suka memerhati, tanya orang tua saya sikit-sikit, duduk dengan dia dan dari situ mula berminat buat gambus,” katanya yang tinggal bersama Pak Hassan sejak berusia tiga tahun.

Meskipun tidak mahir memainkan alat muzik gambus, namun Halidan menggunakan teknik sukat dan ukur bagi mendapatkan bunyi atau 'suara' gambus yang betul ketika proses pembuatannya.

Beliau juga sering berdampingan dengan pemuzik-pemuzik gambus bagi mendapatkan maklum balas untuk menghasilkan gambus yang berkualiti.

“Pemuzik gambus ini tahu apa yang mereka mahu dan kalau ada kekurangan, saya boleh tahu dan belajar.

"Bila kita duduk dalam dunia gambus, kita akan dapat mempelajari teknik dan menjiwainya,” katanya yang turut mengajar cara membuat gambus kepada pelajar di Aswara.

Bukukan khazanah gambus

Jauh di sudut hati Halidan tersimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah buku mengenai pembuatan gambus.

"Perlu ada sebuah buku tentang cara untuk membuat gambus. Kita juga boleh lakukan sedikit kajian yang lebih terperinci mengenai latar belakang sejarah gambus,” katanya yang sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mendokumentasikan proses pembuatan gambus agar legasi itu terus dihargai.

Demi melestarikan alat muzik gambus, kerajaan Johor turut mengabadikan visual gambus pada logo Tahun Melawat Johor 2020 dengan menjadikan gambus sebagai elemen utama pada huruf 'J ' logo berkenaan.

Justeru, Halidan berharap gambus yang merupakan warisan Johor, sentiasa dijaga agar ia tidak pupus ditelan dek zaman.

"Kelemahan kita adalah dari segi dokumentasi. Kalau orang luar boleh datang dan rakamkan pembuatan gambus, kenapa kita tidak boleh lakukan? ” katanya sambil berharap warisan Johor ini dapat terus menjadi khazanah berharga buat Johor.

Disunting oleh Rafe áton Md. Ali

-Bernama