Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bila bambu bernyanyi

Penubuhan Kelab Budaya Kiau Taburi menjadi landasan kepada generasi muda di kampung yang terletak di kaki Gunung Kinabalu itu berkecimpung dalam muzik tempatan berasaskan bambu.

Kelab yang ditubuhkan tiga tahun lepas menerusi inisiatif seorang penduduk di kampung itu, Katrick Sarabun kini, menerima undangan bermain muzik di beberapa majlis keramaian dan pesta bukan sahaja di sekitar Kundasang, malah daerah berhampiran seperti Kota Belud dan Tuaran.

Katrick yang juga ketua kelab budaya itu berkata kelab itu kini mempunyai 16 ahli dari Kampung Kiau Taburi berusia antara 12 hingga 50 tahun itu, menggunakan alat muzik berasaskan bambu seperti sompoton dan seruling dan memainkan lagu-lagu tempatan seperti Sayang Kinabalu dan Tanak Kampung.

"Tujuan kelab ini ditubuhkan supaya kemahiran alat muzik tempatan dan tradisional tidak dilupakan oleh generasi muda dan pada masa sama, belia dan beliawanis di kampung dapat melakukan aktiviti berfaedah yang memberi kemahiran kepada mereka terhadap permainan alat muzik tradisional," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu.

Kampung Kiau Taburi Kundasang terletak kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu dan penduduknya terdiri dari suku kaum Dusun.

Katrick yang mahir bermain sompoton berkata, pada awal penubuhan kelab itu, beliau melatih sendiri ahli kelab untuk bermain alat muzik tradisional itu dan undangan membuat persembahan termasuk di luar Kundasang memberikan keyakinan dan pengalaman ahlinya bermain dengan lebih baik.

"Kini ahli kumpulan kelab budaya itu dapat bermain alat muzik itu dengan baik dan mereka selalu berlatih bagi meningkatkan kemahiran serta muzik yang dimainkan," katanya.

Katrick berkata beliau dalam proses mendaftarkan kelab itu di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi membolehkan kelab itu melangkah jauh termasuk membuat persembahan di luar negeri ini.

-Bernama