Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengarah terkejut idea lucu vokalis Cold Play untuk A Quiet Place

Vokalis Coldplay, Chris Martin, mengundang perhatian umum apabila dia berjenaka dengan mendakwa pernah menyumbangkan idea lelucon untuk filem sekuel A Quiet Place: Part II.

Tanpa diajukan soalan, Martin tiba-tiba menceritakan kisah lucu itu sewaktu dia hadir ke sesi wawancara program The Ellen DeGeneres Show.

Detik mencuit hati itu bermula selepas hos rancangan berkenaan, Ellen menyiarkan trailer filem terbaru yang diarahkan John Krasinski dan dibintangi isteri sutradara terbabit, Emily Blunt.

Kata penyanyi lagu Something Just Like This itu, dia pada asalnya ingin terbabit sama untuk projek A Quiet Place selain mempunyai ilham untuk versi muzikal filem berkenaan.

“Boleh saya ceritakan sesuatu kepada kamu? Sebab kamu baru siarkan trailer A Quiet Place. Sebelum ni saya tak tahu kamu akan mainkan trailer tu.

“Saya serahkan idea muzikal kepada Emily dan suaminya untuk A Quiet Place. Dan idea tu memaparkan saya begini…(sambil membuat aksi dia bermain piano dan menggerak-gerakkan mulut tetapi tanpa mengeluarkan sebarang bunyi).

Walaupun aksinya riuh gamat diketawakan penonton yang hadir menyaksikan program berkenaan, Martin berkata, idea tersebut langsung tidak mendapat sebarang respons daripada Krasinski.

“Mereka langsung tak beri maklum balas. Disebabkan hal itu, saya meluat setiap kali melihat trailer filem berkenaan,” katanya berseloroh.

 

Apabila diberitahu perkara itu melalui akaun Instagram Ellen, Krasinski pula memberi respons seolah-olah dia terkejut selain menyalahkan isterinya kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenainya.

“Saya tak menerima sebarang e-mel daripada Chris Martin. Lelaki ni adalah harta dunia, adakah kamu bergurau dengan saya?!. Emily apa kamu dah buat?” katanya.

‘Perbalahan’ itu berterusan apabila Ellen kemudian memberi respons lebih melucukan.

“Ya, menyalahkan Emily nampaknya satu strategi yang baik,” katanya.

A Quiet Place sebuah kisah fiksyen sains memaparkan empat sekeluarga yang harus menjalani hidup mereka dengan senyap supaya tidak diburu makhluk yang tertarik dengan bunyi.