Ahmad Idham nafi ada dua kem dalam Finas
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menolak dakwaan wujudnya dua kem dalam perbadanan itu.
Sebaliknya, Ahmad Idham mengaku beliau dan Pengerusi, Hans Isaac yang sebelum ini didakwa tidak sehaluan dengannya bekerja bersama secara profesional.
Tampil buat pertama kali pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) hari ini, Ahmad Idham menjelaskan beliau akan terus bersikap positif biarpun timbul pelbagai spekulasi berhubung hubungannya dengan Hans yang dikatakan tidak sehaluan oleh segelintir pihak.
"Kami profesional. Beliau tetap Pengerusi Finas dan untuk FFM31 beliau memegang jawatan Pengerusi Induk manakala saya sebagai pengerusi pelaksana.
"Isu persepsi atau agenda untuk menangani perkara ni bukan mudah. Setiap orang ada persepsi sendiri.
"Apa yang boleh saya buat ialah kendalikan persepsi sebaik mungkin," katanya ketika dikerumuni petugas media sebaik majlis berakhir di Kompleks Studio Mereka, Hulu Kelang, Ampang hari ini.
Bagi membuktikan kenyataannya itu, Ahmad Idham berkata, gabungan mereka berdua juga akan merancakkan pelaksanaan FFM31 yang bakal berlangsung di Encore Melaka pada 18 April depan.
"Kalau betul tak ngam FFM31 pun takkan jadi kenyataan sebab kami kawan dalam industri. Cabaran yang ada biarlah kami lalui dan selesaikan.
"Kami dah kenal lebih 20 tahun dan hubungan persahabatan itu sudah ada sejak lama," katanya.
Malaysiakini melaporkan Ahmad Idham masuk ke pejabatnya pada 10 Januari lalu meskipun beliau didakwa 'direhatkan' selama tiga bulan atas sebab-sebab tertentu.
Terdahulu, Finas mengeluarkan kenyataan Ahmad Idham akan meninggalkan jawatannya pada 10 Mac depan selepas memohon agar kontraknya sebagai CEO dipendekkan.
Isu semakin panas apabila, enam persatuan muncul dan memberi sokongan kepada pengarah Jangan Pandang Belakang itu selain menggesa agar Menteri Komunikasi Dan Multimedia (KKM), Gobind Singh Deo dan Hans meletak jawatan atas dakwaan tidak menjalankan tugas mereka dengan cekap.
'Kami bukan Iron Man'
Mengulas sokongan diberikan segelintir pemain industri, Ahmad Idham, 46, berkata, beliau sedia maklum harapan ramai pihak yang digalasnya.
"Saya maklum ada ramai penggiat seni yang menyokong saya. Kadangkala apabila duduk dalam Finas, saya tak perasan apa yang saya buat cukup atau tidak.
"Tapi apabila ada penggiat seni dah suarakan pandangan, saya rasa sangat bersyukur. Ia membuktikan saya berada di landasan terbaik.
"Yang paling risau adalah harapan mereka yang tinggi tapi kami bukan Iron Man yang boleh buat semua benda satu hari," katanya yang hanya mempunyai tempoh masa dua tahun untuk melaksanakan agendanya di badan itu.
Menurut Ahmad Idham, ketika berdepan ujian getir ini, beliau menyerahkan segala perkara kepada ketentuan Allah.
"Saya sentiasa percaya perancangan Allah adalah yang terbaik. Selain itu saya tak boleh pentingkan diri kerana suara industri perlu didengari.
"Saya selalu meletakkan kepentingan industri di depan. Amanah yang diberikan bukan satu perkara ringan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai