Hampir 4 meter, Istana Budaya pamer tanjak terbesar di dunia
Bagi memartabatkan hiasan kepala yang menjadi warisan kegemilangan Melayu, tanjak setinggi 3.7 meter kini dipamerkan di Istana Budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
Presiden Persatuan Bentan Malaysia, Nazri Kamal Al-Bentan berkata, tanjak Pahang Lang Menyongsong Angin itu diperbuat menggunakan kain broket, sekali gus menjadikan ia tanjak paling besar pernah dihasilkan di dunia.
“Pameran tanjak terbesar ini bertujuan memupuk anak bangsa Melayu agar sayangkan warisan dan budaya mereka,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada majlis perasmian Tanjak Terbesar Malaysia dan Dunia di Istana Budaya malam kelmarin.
Pameran Tanjak Terbesar itu akan berlangsung hingga Mac depan.
Selain tanjak Pahang, turut dipamerkan tanjak Destar Sunda Menggamit, Tengkolok Belalai Gajah, Destar Datuk Bija Diraja dan Setanjak Balung Raja.
Memakan tempoh lebih tiga jam, tanjak berkenaan dihasilkan seramai 15 ahli Persatuan Bentan Malaysia dengan kerjasama Istana Budaya.
Nazri Kamal berkata, lebih istimewa, pemilihan jenis tanjak tersebut diangkat bersesuaian dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berasal dari Pahang.
“Baginda memakai tanjak ini dalam acara rasmi dan istiadat diraja di negeri Pahang,” katanya.
Nazri Kamal berharap, dengan adanya pameran mengenai tanjak berkenaan, ia dapat mendedahkan kepada generasi muda adat memakai tanjak yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan pelbagai acara ada istiadat Melayu.
“Tanjak diiktiraf Jabatan Warisan Budaya sebagai Warisan Kebangsaan pada 2012.
“Melihatkan sekarang ini ramai anak muda gemar mengenakan busana ini, kita buat pameran tanjak dari setiap negeri dengan kerjasama Istana Budaya.
“Pemakaian tanjak sebenarnya perlu dipakai mengikut kesesuaian majlis selain lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bercapal atau kasut,” katanya.
Sementara itu, Nazri Kamal berkata, selepas pameran berakhir, kain tersebut akan dipotong setiap satu meter untuk dijadikan tanjak Lang Menyongsong Angin sesuai untuk kegunaan dan kemudian diberikan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim.
Beliau berkata, ia dijadikan sebagai cenderahati bagi memperkasakan budaya, adat dan warisan Melayu.
“Kita wakafkan pada golongan berkenaan, selain itu nak tiup semangat mereka untuk menghargai tanjak. Jika beli di luar ia menelan kos sekurang-kurang RM60 satu,” katanya
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai