Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anak ahli parlimen 'curi' hati Mira Filzah?

Meskipun pelbagai spekulasi bertebaran, Mira Filzah terus mengunci mulut apabila disoal sama ada jejaka yang sedang bertahta di hatinya kini merupakan anak kepada seorang ahli parlimen.

Pelakon itu - yang pernah mengakui sedang mengenali hati budi seseorang - mengaku lebih selesa dengan pendiriannya, iaitu untuk tidak berbicara mengenai perkara berkenaan.

Bahkan, pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu berkata, dia enggan melatah, sebaliknya membiarkan umum membuat telahan sendiri mengenai identiti jejaka tersebut.

“Saya sedar, selagi perkara ini disimpan, semakin banyak spekulasi yang akan timbul. Namun, saya tidak akan berganjak daripada pendirian untuk tidak mendedahkan identiti jejaka itu selagi belum ada kepastian.

“Saya perlu hormat permintaan kedua-dua keluarga. Siapa yang tahu, tahulah... Sekiranya ada yang nampak kami di tempat umum, terpulang untuk mereka membuat andaian.

“Tiada apa yang saya sembunyikan, apatah lagi membiarkan perkara ini menjadi teka-teki. Saya hanya menghormati permintaan keluarga,” katanya dipetik BH Online.

Disebabkan prinsip yang dipegang itu jugalah membuatkan Mira atau nama penuhnya Nur Amirah Filzah Badioezaman enggan terlalu terbuka apabila bercakap soal jodoh.

“Belum masanya untuk saya bercakap mengenai perkara itu. Bukan nak berahsia, tetapi apa sahaja kemungkinan boleh berlaku pada masa akan datang.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, setiap pasangan yang bercinta pasti mengharapkan hubungan mereka melangkah ke alam perkahwinan. Saya juga mengharapkan perkara sama,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan pelakon Remy Ishak yang memadam dan tidak lagi mengikutinya di laman sosial, Instagram sebelum menukar fikiran, Mira berkata, perkara itu di luar bidang kuasanya.

Kata aktres itu lagi, hubungan yang dijalin selama ini bersama aktor berkenaan cuma berjalan atas dasar profesional.

“Saya tidak tahu mengenai hal itu. Mungkin Remy mahu memulakan sesuatu yang baru sempena kedatangan 2020, jadi dia membuat keputusan untuk mengemas kini pengisian kandungan gambar dan video yang ingin dikongsinya di media sosial.

“Mengenali Remy, dia sangat selektif, terutama dalam berkawan dan siapa yang mahu diikut di media sosial,” katanya.