Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bakat tempatan bangga terlibat produksi sekuel Star Wars

Sze Jia Eng, bangga selain berpuas hati apabila berpeluang sekali lagi menjadi sebahagian daripada produksi bagi menghasilkan sekuel Star Wars: The Rise of Skywalker.

Dia yang bertindak selaku penyelaras produksi VFX (kesan visual) filem berkenaan menyatakan rasa bangganya itu apabila melihat sambutan luar biasa yang diterima naskhah berkenaan.

Anak kelahiran Johor dan berpangkalan di Singapura itu juga mengaku menghasilkan perincian filem berkenaan adalah pengalaman sangat mencabar, namun dia tetap teruja menerima peluang sedemikian.

“Untuk filem ini sendiri, cabaran terbesar semestinya menjadikan segala animasi dan kesan visual tampak nyata. Dengan kemajuan teknologi yang semakin hebat, perincian ini kami berjaya laksanakan dengan sangat memuaskan.

“Semestinya, banyak cabaran apabila menjadi penyelaras produksi VFX di mana kadang-kadang apa yang sudah disiapkan tidak menjadi seperti dirancang. Justeru, kami akan bermula semula dari awal untuk merombak dan memperbaiki hasil kerja.

“Apapun, saya amat bangga menjadi sebahagian daripada penghasilan filem terbaru Star Wars ini. Bukan saya seorang, ada rakyat Malaysia lain terbabit di mana kami bergabung dengan semua pakar kesan visual dari Jepun, Britain, Amerika Syarikat, dan lain-lain,” katanya dipetik Harian Metro.

Kata Jia Eng dia juga bekerja rapat dengan nama-nama pelakon hebat dalam setiap filem membabitkannya.

“Awal dulu, dalam fikiran saya, profesion ini terdedah kepada dunia glamor. Memang benar tapi tugas kami yang berada di belakang tabir jauh lebih mencabar dan perlu bekerja dekat dengan setiap aktor,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, komunikasi tersebut terhad setakat di talian dan bukannya berjumpa secara berdepan.

“Mereka mungkin tidak kenal wajah saya namun sayalah yang akan memberi penerangan buat mereka mendalami lagi watak serta segala aspek yang perlu dititikberatkan,” katanya.

Pada masa sama, Jia Eng juga mendedahkan pengalaman selama lebih empat tahun mengajar dia untuk sentiasa peka dengan muslihat baru dunia kesan visual.

“Dengan kemajuan teknologi yang pantas, kami perlu sentiasa menguasai segala muslihat baru untuk memastikan hasil kerja lebih ke depan. Kami perlu kekal terperinci dengan setiap aspek supaya dapat seiring bersama evolusi teknologi perfileman,” katanya.

Bukan itu saja, Jia Eng mengaku dia sebenarnya menyimpan hasrat untuk membanggakan Malaysia selain dapat menjejakkan kaki ke anugerah berprestij Oscars suatu hari nanti.

“Impian besar saya dalam kerjaya ini adalah untuk melihat nama tersenarai dalam calon Oscars pada masa hadapan. Setakat ini, saya belum mendapat peluang keemasan itu namun akan terus bekerja keras sampai ke tahap itu,” katanya.

Jia Eng mula membabitkan diri pada 2015 bersama syarikat kesan visual filem  terkenal di Hollywood, Industrial Light and Magic yang ditubuhkan pengarah George Lucas.

Sebagai pengarah produksi, dia menjaga rapi kelancaran jadual harian pelakon dan memastikan kejayaan filem diraih seperti dirancang.

Untuk rekod, graduan Monash University peringkat Sarjana Muda dalam bidang komunikasi tu sudah menyelaras 20 projek filem hingga sekarang.

Selain Star Wars, dia juga menyelaras beberapa projek filem popular seperti Life of Pi pada 2011, Teenage Mutant Ninja Turtles: Out of the Shadows (2016), Rogue One: A Star Wars Story (2016), Avengers: Infinity War (2018), Aquaman (2018), Ready Player One (2018) dan Aladdin (2019).