Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ejen Ali filem 'keren', cukup resepi - novelis Indonesia

Novelis Indonesia Tere Liye berkongsi pengalamannya menonton Ejen Ali: The Movie yang menurutnya sebagai sebuah filem yang sangat baik.

Berbeza dengan Boboiboy dan Upin dan Ipin, dia mengakui tidak tahu apa-apa tentang watak Ejen Ali tetapi itu tidak menghalangnya daripada menikmati filem tersebut.

"Saya memerlukan penyesuaian ketika menonton kerana tidak kenal setiap wataknya. Tetapi itu tidak sulit, ceritanya mudah diikuti, konflik juga okey. Saya merasakan ketegangan dan juga kesedihan wataknya, dan keseruan (keterujaan) aksinya.

"Lima minit pertama, filem ini keren (hebat), 30 mini pertama juga begitu. Sampai selesai pun masih keren. Kualiti animasinya mengangumkan. Tidak kalah dengan produksi Amerika dan Jepun," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Tere Liye

Katanya lagi, Ejen Ali: The Movie cukup resepinya dengan aksi dan misteri, serta unsur drama yang mampu membuatkan penonton menangis dan pada masa sama tetap memasukkan unsur komedi.

Sejak ditayangkan di Malaysia pada 28 November lalu, filem itu dilaporkan telah berjaya mencecah kutipan RM29.3 juta setakat 31 Disember lalu. Angka itu selepas mengambil kira tayangan di Brunei dan Singapura.

Mulai 1 Januari, filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu akan ditayangkan di kira-kira 100 pawagam di Indonesia pula.

Mengulas lanjut, penulis novel Hafalan Shalat Delisa itu mengatakan perkara yang paling disukainya dalam filem itu adalah kandungan-kandungan tempatan yang menurutnya menjadi "menu utama".

"Bermula dari makanan, pakaian, kebiasaan dan hingga hal-hal rinci. Pakaian yang dikenakan Niki adalah batik, makanannya sate, ditambah dengan ejen-ejen yang berkerudung.

"Jika filem lain hal ini cuma jadi pelengkap dan alat promosi untuk menarik pasaran tertentu, di filem ini ia jelas menjadi menu utamanya," katanya.

Dia kemudian mengesyorkan ditonton oleh kanak-kanak di negara itu.

"Tahniah buat pasukan yang menghasilkan filem ini. Malaysia jelas melompat tinggi sekali dalam filem-filem animasi," katanya lagi.