Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sorotan berita terhangat dunia hiburan 2019

Kalendar dunia seni dan hiburan 2019 bagaikan tidak lengkap tanpa diwarnai pelbagai kisah suka dan duka melibatkan isu semasa.

Selain mereka yang berjaya menempa nama di persada antarabangsa, tidak kurang juga dalam kalangan artis tanah air yang mencuri perhatian dengan kisah kurang enak didengari.

Di sebalik pelbagai cerita dan kontroversi yang menjadi rekod, ada antaranya yang boleh dijadikan pengajaran supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

Dengan berakhirnya 2019 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa jam lagi, Malaysiakini mengumpulkan beberapa sorotan peristiwa menarik dalam dunia seni hiburan tanah air sepanjang tahun ini.

Persengketaan Aishah, Vida isu berlian RM80,000

Kemelut berpanjangan antara Juara Gegar Vaganza 4 (GV4), Aishah dengan penaja program musim berkenaan, Hasmiza Othman atau Vida selama dua tahun selesai selepas kedua-dua mereka menyelesaikan saman di luar mahkamah. 

Melalui proses mediasi, penyanyi Camar Yang Pulang itu menerima lima barang kemas termasuk dua butir berlian asli bernilai RM80,000 Julai lalu. 

Episod penyerahan berlian itu juga tidak berakhir tanpa drama dicetuskan Vida apabila dia memilih kaedah memasukkan dua butir berlian ke dalam balang makanan.

Selain itu, pengusaha kosmetik itu juga mempamerkan aksi cuba memasukkan berlian tersebut ke dalam mulut. 

Pertikaian antara Aishah dan Vida tercetus selepas barang kemas yang menjadi hadiah iringan dimenanginya melalui program realiti GV4 didapati tidak menyamai nilai RM80,000. 

Kepimpinan Finas terus dihimpit kontroversi

Pertikaian berhubung individu menduduki kerusi panas kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) masih berlanjutan selepas PH mengambil alih tampuk kerajaan pusat.

Badan itu dirundung kontroversi terutama berhubung cara ia ditadbir selepas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melantik pengarah Ahmad Idham Nadzri sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pelakon Hans Isaac sebagai Pengerusi.

Di sebalik beberapa pengumuman yang sepatutnya menggembirakan anak seni seperti memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), reputasi agensi itu dilihat semakin terjejas apabila gandingan kedua-dua, CEO dan Pengerusi berkenaan didakwa tidak sehaluan.

Kontroversi menghimpit Finas mencapai tahap klimaksnya apabila Finas mengumumkan Ahmad Idham akan meninggalkan jawatannya pada 10 Mac 2020 selepas memohon agar kontraknya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dipendekkan.

Enam persatuan pula kemudiannya muncul menggesa Menteri KKMM, Gobind Singh Deo dan Hans Isaac supaya berundur berpunca daripada dakwaan kegagalan mereka membawa perubahan seperti diinginkan penggiat seni selama ini. 

Pelantikan Sasterawan Negara ke-14 menjadi polemik

Cara panel hakim membuat penilaian ke atas penerima Anugerah Sastera ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail dipertikai segelintir pihak yang mengesyaki ia dicemari campur tangan politik.

Tokoh penulis dari Perak, Dr Malim Ghozali PK, pula secara terbuka mempertikaikan mengapa dirinya tidak terpilih menerima anugerah tersebut.

Malim dalam kenyataan medianya juga membangkitkan apa terjadi selepas pengumuman Sasterawan Negara ke-14 dibuat Ketua Pengarah DBP pada 28 Mac lalu.

Telemovie dikecam angkat isu "persemburitan di institusi tahfiz"

Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi menampilkan isu lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT) di pusat tahfiz yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia dikecam pelbagai pihak apabila naskhah itu didakwa boleh merosakkan imej sekolah agama dan institusi Islam secara menyeluruh.

Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman menggesa Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum menyiarkan drama itu manakala Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad mempertikaikan drama terbabit kerana menyorot institusi tahfiz.

RTM tampil memberikan penjelasan dan mempertahankan kandungan drama - berkisahkan seorang mak nyah ingin kembali ke pangkal jalan dan mendalami ilmu agama - itu sebagai sarat mesej berguna serta boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat. Kontroversi pada masa sama timbul ketika pemain utama iaitu Syafie Naswip didakwa oleh bekas tunangnya menjalin hubungan sejenis.

Selain mendapat mendapat kecaman daripada warganet, drama ini turut dikritik pemimpin PAS Riduan Mohd Nor yang menyifatkan drama tersebut sebagai drama sampah yang didakwanya seperti mengangkat isu "persemburitan yang berlaku di institusi tahfiz."

Bagaimanapun, penerbit Fadzil Zahari mendakwa ada pihak memanipulasi penyebaran babak-babak tertentu menyebabkan telefilem itu dilihat seolah-olah membawa unsur negatif.

Neelofa sedih sikap Melayu 'jatuhkan bangsa sendiri'

Kecewa isu susu pisang, pengacara dan pelakon terkenal Neelofa menganggap hal itu berpunca daripada mentaliti segelintir orang Melayu yang didakwanya tidak suka melihat anak bangsa berjaya.

Katanya, dirinya julung kali menceburi perniagaan berasaskan makanan dan minuman (F&B), dan sewajarnya diberi peluang untuk berkembang, bukannya dikecam.

Produk minuman Neelofa itu menjadi tular apabila kenyataan pada risalah diedarkan antaranya mendakwa ia boleh mengurangkan obesiti tekanan darah dan meningkatkan kadar metabolisma.

Kenyataan itu kemudian menyebabkan seorang doktor tampil memberi teguran dan meminta Neelofa supaya menjelaskan perkara sebenar kepada netizen di media sosial.

Neelofa pula mendakwa, siasatan mendapati, risalah terbabit diedarkan sebuah agensi pemasaran yang dilantik oleh pihaknya tetapi tidak mendapat maklum balas ibu pejabat terlebih dahulu.

Michael Ang peluk Islam

Nama pengarah terkenal Michael Ang menggemparkan dunia seni tanah air apabila dia secara terbuka mengumumkan sudah memeluk Islam.

Dia yang memeluk Islam lebih setahun itu memohon maaf kerana tidak berterus-terang kepada umum pada awal namun kemudian didorong untuk menjelaskan perkara sebenar kerana enggan dirinya terkait spekulasi apabila mendirikan solat di masjid.

Pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu bersyukur apabila peralihannya itu mendapat sokongan daripada masyarakat sekeliling terutama apabila ada jemaah sudi membantu dia memulakan kehidupan sebagai saudara baru.

Kerana BTS, Syed Saddiq tak rela Malaysia tewas pada Singapura, Thailand

Beberapa pihak mempersoalkan niat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa masuk kumpulan popular dari Korea Selatan, Bangtan Boys atau BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Tindakan itu mencetus perasaan tidak puas hati antaranya dalam kalangan penyanyi Francissca Peter yang beranggapan ia merupakan satu tamparan dan penghinaan buat selebriti tempatan.

Manakala Majlis Senator menggesa Kementerian Belia dan Sukan membatalkan hasrat berkenaan.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Dr Rais Yatim menyarankan kerajaan sewajarnya mengutamakan penghibur tempatan kerana setiap daripada mereka mempunyai bakat tersendiri sekali gus mewujudkan jenis tarikan yang diperlukan.

Namun, Syed Saddiq mempunyai alasan tersendiri dan berkata, Malaysia tidak harus ketinggalan dalam mengejar peluang berbanding untuk menjadi destinasi nombor satu penganjuran dan konsert di rantau ini seperti Thailand dan Singapura.

Selebriti melangkah ke fasa alam perkahwinan

Zamani Slam

Selepas berkawan hampir 14 tahun, penyanyi Zamani Ibrahim akhirnya menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Nur Juliana Abdul Rani.

Majlis pernikahan diadakan secara kecil-kecilan dan berlangsung di Ampang Kuala Lumpur itu dihadiri oleh ahli keluarga dan cuma kenalan terdekat. 

Fasha Sandha

Dengan sekali lafaz, pelakon Fasha Sandha sah bergelar isteri kepada aktor Aidil Aziz dalam sebuah majlis yang diadakan di Perlis. Upacara berkenaan sekali gus menamatkan status Fasha sebagai janda.

Bintang Anak Halal itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Rizal Ashram Ramli tetapi bercerai empat tahun kemudian. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima. 

Elly Mazlein

Jika tiada aral melintang, pelakon dan penyanyi Elly Mazlein mengumumkan bakal melangsungkan hari bahagianya dengan seorang guru pada 17 Januari depan.

Desas-desus penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu bakal menamatkan status jandanya bermula kencang selepas dia memuat naik gambar bersama seorang pemuda di media sosial.

Namun, ketika ditanya media, ibu kepada Putri Sara Sephia itu enggan lebih selesa mengunci mulut.

Dia sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pengarah Azmi Hatta, pada 9 November 2014 tetapi bercerai pada 15 Oktober, tidak sampai setahun kemudian. 

Filem Upin Ipin menempa nama di persada antarabangsa

Filem animasi popular tempatan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal melakar sejarah lagi apabila disenaraikan untuk dinilai sebagai calon Anugerah Academy atau Oscar 2020. 

Menurut kenyataan penerbit filem tersebut, Les Copaque, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menerima pencalonan bersama 32 lagi filem animasi antarabangsa lain.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut melakar sejarah apabila diangkat sebagai pemenang anugerah Filem Cetera Terbaik Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (Animaze) di Montreal, Kanada.

Jalil Hamid dipulau selepas luah perasaan pasal bayaran lakonan

Pelakon veteran itu mendakwa tidak menerima sebarang tawaran berlakon selama tujuh bulan selepas meluahkan perasaan tidak puas hati soal bayaran RM1,500 yang diterima untuk watak utama tahun lalu.

Namun, pelakon Lelaki Harapan Dunia itu menegaskan, dia tidak kisah andainya perlu menjadi kambing hitam dalam mensuarakan hak dan kebajikan sama rata penggiat seni sepertinya.

Katanya, biarlah dia menjadi sasaran andai pelakon lain bimbang mereka hilang punca rezeki kalau bersikap kritikal. 

Dunia hiburan tanah air dikejutkan berita selebriti pulang ke rahmatullah

Dahlan Zainuddin

Penyanyi era 70-an yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan, Dahlan Zainuddin meninggal dunia pada pukul 9.48 malam di Hospital Selayang pada 28 Mei lalu.

Dahlan, 78, dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri akibat serangan strok. Serangan terbabit merupakan serangan strok kedua selepas yang pertama pada tahun 2016, mengakibatkan Allahyarham lumpuh sebelah kiri.

Yazit Ahmad

Pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad menghembuskan nafas terakhir jam 11.53 pagi di Hospital Kuala Lumpur, September lalu. Allahyarham yang ketika itu berusia 57 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung. 

Nassier Wahab

Nassier menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.45 pagi di Hospital Universiti Malaya Specialist Centre, Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu. Penyanyi lagu Bayangan Wajah Duka itu berusia 57 tahun.

Pemilik nama sebenar Mohd Nasir Abd Wahab itu pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri 1 Jun lalu.

Dia mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu mengalami sakit gusi. Kanser gusi mula dikesan selepas Nassier mencabut gigi empat tahun lalu.