‘Mama tak kata disabotaj, tapi terpulang kepada khalayak’
Walaupun perjuangannya terhenti di pusingan separuh akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV6), penyanyi Noorshila Amin berkata peminat masih memberi sokongan padanya.
Malah, katanya, penilaian peminatnya kali ini berbeza sama sekali dengan juri tetap GV6 Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan M Nasir.
“Mama selalu terima perkongsian ‘keputusan tidak rasmi’ daripada grup Whatsapp. Difahamkan, keputusan itu dinilai orang yang sangat berpengetahuan tentang muzik.
“Keputusan GV6 yang mereka beri dengan keputusan rasmi oleh juri tetap adalah sangat berbeza,” katanya kepada pemberita selepas sidang media konsert minggu sepuluh GV6, di Shah Alam, Ahad lalu.
Katanya, terdapat pihak mahir dalam muzik dan seni persembahan dalam grup Whatsapp peminatnya.
Noorshila yang menyanyikan lagu Dialah di Hati, duet bersama Ifa Raziah dan lagu nyanyian asal Francissca Peter berjudul Kerna Terpaksa tersingkir apabila berada di kedudukan paling bawah dengan jumlah markah 52 peratus.
Bagaimanapun ramai peminatnya di alam maya meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu.
Sementara itu, Noorshila juga ditanya sama ada beliau mengesyaki terdapat unsur sabotaj dalam penilaian itu.
“Itu terserah bagaimana pemahaman anda terhadap kenyataan Mama. Mama tak kata disabotaj. Tapi terpulang kepada khalayak untuk menilainya,” katanya.
Akur dengan penyingkirannya bersama penyanyi Bossanova, Wann, Noorshila berkata dia tidak ralat kerana sudah memahami selok-belok program realiti televisyen.
“Saya cuba yang terbaik seperti mana peminat Mama harapkan. Saya tak ralat sebab saya tahu ini adalah Gegar Vaganza.
“Tapi inilah rancangan realiti. Perancangan yang hebat, namun perancangan Allah lagi hebat,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai