Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Khai Bahar menangis betul-betul dendangkan Ratuku

Kejayaan demi kejayaan diraih Khai Bahar sepanjang 25 tahun bergelar artis dan ia boleh membuatkan penyanyi itu dianggap sebagai pelapis terbaik kepada lelaki sedia ada.

Setiap lagu yang dihasilkan juga mempunyai cerita tersendiri termasuklah single terbaru, Ratuku, yang diterbit dan diedarkan syarikat rakaman 17Eleven Music.

Khai - atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin - berkata, lagu berkenaan dihadirkan khusus bagi membantu menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap orang yang mengalami masalah buah pinggang.

“Lagu ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar membantu golongan yang memerlukan secara ikhlas,” katanya dalam satu kenyataan.

Khai, 25, mengaku Ratuku juga menyebabkan air matanya tumpah sewaktu proses rakaman video muzik.

“Dalam video muzik lagu ini saya menangis betul,” katanya yang dilantik sebagai duta bagi Pusat Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Ratuku dicipta sendir oleh Khai bersama Dr Azrul Azlan dan Anwar Husaini. Azrul turut bertindak sebagai penulis lirik dan ia dihasilkan khas untuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan berwakaf.

Bantu sedikit sebanyak

Menurut Khai, lagu tersebut adalah single terbarunya selepas lagu duet Satukan Rasa.

“Lagu Ratuku bukan sekadar untuk halwa telinga, tetapi ia memberi peluang kepada semua peminat untuk menghayati mesej positif sekali gus dapat menyumbang kepada golongan memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, Khai berkata, dia berharap lagu itu mendapat maklum balas baik dan video muzik menangkap hati penonton.

“Sudah semestinya menjadi harapan penyanyi supaya lagu mereka diterima baik. Sama macam kebanyakan lagu sebelum ini, saya tidak meletakkan harapan tinggi. Alhamdulillah, semuanya berjaya.

“Begitu juga dengan Ratuku, saya menyerahkan rezeki kepada Allah. Saya sudah buat yang terbaik dalam lagu ini. Saya sampaikan seperti mana apa yang diinginkan komposer.

“Malah, dalam video muzik saya cuba menjiwai sepenuhnya watak itu. Pengalaman berlakon dalam drama Satukan Rasa sedikit sebanyak membantu saya dalam video muzik ini,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran serentak lagu dan video muzik Ratuku dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Beliau juga adalah Yang Dipertua Maips.