Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

8 syarikat penerbit filem kongsi dana RM1.58j dari Finas

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyalurkan dana sebanyak RM1.58 juta kepada lapan syarikat melalui Insentif Tayangan Filem Cakera (ITFC) hari ini.

Menurut Pengerusi Finas, Hans Isaac, lapan syarikat berkenaan dipilih sebagai penerima ITFC kerana berjaya meraih kutipan filem tertinggi melalui pawagam tempatan.

"Lapan syarikat tersebut ialah Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang menerbitkan filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, Skop Production Sdn Bhd (Misteri Dilaila), CB Pictures Sdn Bhd (Lee Chong Wei), Primeworks Studios Sdn Bhd (7ujuh), Evo Pictures Sdn Bhd (Red Storm), DAA Productions Sdn Bhd (Shung Pong O), Another Planet Sdn Bhd (Fly By Night) dan At Movies Sdn Bhd (Azhaggiye Thee).

"ITFC diwujudkan selepas duti hiburan sebanyak 25 peratus tiada dalam industri," katanya.

Hans Isaac ditemui pada sidang media pengumuman ITFC di Finas, Hulu Kelang, Ampang, Selangor hari ini.

Menurutnya ITFC diwujudkan untuk membantu dan menggalakkan penerbit filem agar terus menghasilkan filem-filem cereka tempatan yang bermutu.

"Ia sebagai inisiatif Finas bagi menghargai hasil karya dalam industri tempatan," katanya.

Hans Isaac berkata, penyampaian dana berkenaan dibuat selepas Finas bertemu dengan menteri besar dan ketua menteri pada sesi pembentangan duti hiburan sebelum ini.

Sementara itu pada sesi berlainan, Finas mengadakan sesi town hall bagi membincangkan isu dana kandungan digital dan Skrin Malaysia (MySkrin) bersama pihak industri.

Kata Hans Isaac, perbincangan itu bertujuan meningkatkan kualiti kandungan selain cadangan penambahbaikan Skim Wajib Tayang 2005 ke MySkrin bagi memastikan filem tempatan mendapat slot di pawagam.

MySkrin dijadual dilancarkan pada 2020 dan status terkini berkaitan cadangan berkenaan berada di peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk peringkat seterusnya.