Hans Isaac: Cuma menteri boleh batalkan pelantikan
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hans Isaac, enggan tunduk kepada sebarang desakan yang meminta dia melepaskan jawatan disandang sekarang.
Sebaliknya kata Hans Isaac, dia hanya akan berbuat demikian sekiranya mendapat arahan daripada pihak yang memayungi agensi berkenaan iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
“Tidak. Saya tak akan tunduk pada desakan tersebut. Pelantikan jawatan pengerusi dibuat oleh menteri, Gobind Singh Deo. Individu yang boleh memecat saya hanyalah menteri itu sendiri," katanya.
Pelakon, pengarah, penerbit dan bekas model itu ditemui pada sidang media penyampaian cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan pencapaian filem tempatan di peringkat antarabangsa sepanjang 2019 di Finas, Hulu Kelang, Ampang, Selangor hari ini.
Pada 10 Disember lalu, enam persatuan tampil menggesa Gobind, Hans Isaac dan beberapa ahli Lembaga Pengarah Finas meletakkan jawatan ekoran didakwa gagal membawa pembaharuan dikehendaki dalam badan tersebut.
Desakan dibuat Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia, Persatuan Sutradara Malaysia, Persatuan Komuniti Filem Titiwangsa, Pertubuhan Industri Kreatif Digital, Persatuan Sinematografi Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia.
Pada sidang media sama, mereka juga mendakwa Hans Isaac tidak layak memegang jawatan pengerusi kerana menyalah guna kuasa selain didakwa mencampuri urusan Ahmad Idham hingga membawa kesan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas itu direhatkan.
Patut kemuka ke CEO
Menjawab pertuduhan dianggap tidak berasas tersebut, Hans Isaac, 48, berkata dakwaan terbabit hanya datang daripada segelintir individu dan tidak mewakili keseluruhan penggiat seni.
“Saya tetap hormat kerana mereka boleh luahkan pendapat masing-masing. Cuma hormatilah Gobind kerana banyak usaha dilakukan beliau untuk Finas.
“Saya seorang tak mampu pengaruhi sebarang keputusan untuk menteri yang sedia ada sudah mempunyai ramai penasihat di belakangnya.
“Saya juga tak ada masalah dengan CEO, Isnin lalu baru berbincang dengan Ahmad Idham untuk pertemuan yang sepatutnya diadakan dengan ketua menteri, mana persatuan dapat fakta sampai boleh komen begitu adalah persoalan yang saya sendiri tak tahu,” katanya.
Namun, Hans Isaac yang dilantik ke Finas mulai 8 April lalu bertegas, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada dakwaan yang boleh menjejaskan imej dan reputasinya.
“Saya ada integriti, tak reti benda-benda lain. Saya selalu jujur dengan apa saya cakap. Kalau hingga jejas nama, saya akan ambil tindakan,” katanya.
Pada masa sama, Hans Isaac menjelaskan, isu berkaitan persatuan bukan tertakluk di bawah bidang kuasanya, sebaliknya sebarang masalah berbangkit perlu dikemukakan kepada CEO.
“Saya tak ada kuasa nak bincang masalah dengan persatuan kerana tu tanggungjawab CEO atau pihak pengurusan. Saya hanya pengerusi dalam bilik lembaga.
“Kecuali ada permintaan daripada mereka, setakat ni tak ada yang sampai atas meja saya,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai