One Nation Emcees kerja keras, tepis tanggapan tersingkir awal
Berpeluang mara ke pusingan seterusnya pada minggu keenam Gegar Vaganza 6 (GV6), kumpulan One Nation Emcees (One) enggan terus terbuai dalam perasaan.
Kata seorang anggota One, Mimi Fly, 32, setiap persembahan ibarat konsert mereka yang terakhir, justeru ia tidak boleh disia-siakan.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, mereka juga perlu bekerja keras bagi menepis anggapan umum bahawa bakal menjadi perserta GV6 yang akan pulang awal.
“Kami masa mula-mula masuk, semua orang rasa kami akan kena keluar awal lagi. Lepas itu bila sampai sini (layak ke pusingan seterusnya), mereka cakap kami akan masuk final
“Nasib baik (persembahan) tak terjejas sebab setiap minggu memang rasa macam minggu terakhir,” katanya.
Mimi ditemui semasa sidang media konsert minggu kelima GV6 yang bertemakan melets atau Meletup yang berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Ahad lalu.
Pada konsert itu, One menyanyikan lagu berjudul Makhluk Tuhan Paling Seksi dendangan asal penyanyi dangdut terkenal dari Indonesia, Mulan Jameela.
Persembahan itu menyaksikan One berada pada kedudukan ketiga daripada 10 bintang yang bertanding pada malam berkenaan.
Mengakui kumpulan hip hop dari Sabah yang ditubuhkan pada 2008 itu pernah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang bersama, Mimi pada masa sama mengakui One kini lebih matang dalam menguruskan perjalanan seni mereka.
Misi rebut gelaran juara
Mimi juga menafikan kumpulan yang muncul dengan album sulung berjudul Raja Gelek pada 2010 itu pernah berpecah.
“One Nation Emcees sebenarnya masih bergerak sebagai satu pasukan namun kadang-kadang, setiap seorang daripada mereka mahu menumpukan perhatian pada projek solo masing-masing," katanya.
Menurutnya, di pentas di GV6, mereka muncul kembali sebagai satu pasukan dengan misi merebut gelaran juara pada pusingan akhir GV6 di samping mahu memberikan persembahan yang terbaik buat peminat.
Selain Mimi, One turut dianggotai tiga lagi anggota iaitu, Jojo Fly, Kozae dan Zydee.
Namun Zydee tidak dapat memberikan komitmen pada pertandingan itu dan digantikan oleh salah seorang penyanyi asal One yang sudah bergerak secara solo iaitu Sabhi Saddi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai