Naqiu anggap diri seperti budak sedang membesar
Kembali bangkit menduduki tempat teratas Gegar Vaganza musim enam (GV6), Naqiu tetap enggan terbuai oleh perasaan, malah tidak akan membiarkan faktor usia dan pengalaman menjadi penghalang dia membuktikan kemampuan di konsert akan datang.
Kata penyanyi yang pernah mencetus fenomena bersama kumpulan Boboy itu, dia sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya belajar untuk 'mengambil kesempatan' melalui pengalaman yang ditimba setiap minggu di GV6.
“Saya sedar, saya peserta paling muda dan berada dalam industri sebelum ni pun tak lama. Justeru, saya letakkan diri seperti sekecil-kecil budak yang sedang membesar.
“Apabila membesar dalam kalangan orang lain yang dewasa, saya guna kesempatan tu,” katanya selepas konsert kelima GV6 berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam tadi.
Pada konsert berkenaan, Naqiu, 32, membawakan lagu Di Ambang Wati nyanyian asal kumpulan Wings. Persembahan meyakinkan itu membolehkan dia menduduki tempat pertama sebagai peserta layak ke minggu keenam.
Persembahan itu juga membuat juri tetap, Hetty Koes Endang, berdiri sambil memberikan tepukan sanjungan.
Bagi Naqiu - atau nama penuhnya Wan Naqiuddin Mohd Najib - tepukan sanjungan itu membuatkan semangatnya lebih membuak-buak untuk membuat persembahan lebih baik bagi melayakkannya ke peringkat akhir.
“Itu penghargaan sangat besar buat saya yang dapat daripada bonda (gelaran untuk Hetty). Alhamdulillah,” katanya.
Akan ada tak suka
Pada minggu keempat, Naqiu terpaksa berpuas hati apabila berada di tempat ketujuh daripada 11 peserta kerana gagal mengawal emosi sewaktu membawakan lagu arwah Achik Spin, Gurauan Berkasih, bersama artis undangan, Siti Nordiana.
Acara malam tadi pula menyaksikan Nurfatima berada di kedudukan terakhir selepas membawakan lagu Can’t Fight The Moonlight nyanyian asal LeAnn Rimes.
Bagaimanapun nasib masih berpihak kepadanya apabila terselamat ekoran tiada penyingkiran dilakukan.
Mengulas lanjut kejayaannya malam tadi, Naqiu menjawab, dia tidak mahu peluang sekali lagi untuk membina nama dalam dunia hiburan dipersia-siakan begitu saja.
“Saya seorang yang serius dalam apa saya buat. Tak akan buat sesuatu persembahan separuh hati,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai persediaannya untuk berkongsi privasi dengan peminat selain berdepan kecaman - sekiranya ada - suatu hari nanti, Naqiu hanya menjawab ringkas.
“Dalam 100 orang menyukai kita, akan ada 10 orang yang tak suka. Itu lumrah manusia.
“Bagi privasi pula saya letakkan had, iaitu tak mahu terlalu menonjolkan keluarga untuk tatapan umum,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai