Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syafie bersyukur kemelut terlerai berkat keajaiban doa ibu bapa

Syafie Naswip berkata khabar bahawa tiada tindakan lanjut diambil pihak pendakwa raya ke atas kes dakwaan mendatangkan kecederaan dan mengugut bekas tunangnya, Aishah Azman, sebagai keajaiban doa ibu bapanya.

Kata pelakon itu, dia menerima maklumat mengenai perkembangan kes berkenaan daripada peguamnya dua hari lalu.

Menurut Syafie, peguamnya memaklumkan pihak pendakwa raya memutuskan kes tersebut sebagai NFA, atau tiada tindakan lanjut.

“Saya anggap ini keajaiban dan hasil doa ibu bapa serta individu yang sentiasa memberikan sokongan. Keputusan ini sudah cukup untuk membersihkan nama saya. Alhamdulillah.

“Selama ini, saya hanya diam dan tidak memberikan kenyataan balas walaupun sebenarnya saya boleh buat begitu.

"Saya pilih untuk mendiamkan diri dan berikan kerjasama yang sepatutnya kepada pihak berwajib.

“Saya lega dan gembira sebaik sahaja menerima berita ini daripada pihak peguam tetapi tidaklah sampai melompat,” katanya dipetik Harian Metro.

Jadi lebih baik

Syafie dan bekas tunangnya - yang juga pelakon itu - mengikat tali pertunangan pada 7 April lalu dan merancang untuk mengakhiri zaman bujang mereka pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, gara-gara didakwa mencekik, menumbuk dan melontarkan kata-kata makian terhadap Aishah, ikatan pertunangan itu terlerai pada 21 Julai lalu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Aishah mengaku dugaan dilalui sewaktu bertunang banyak mengajarnya supaya tidak mudah memberi kepercayaan terutama membabitkan masa depan bersama bakal suami. 

Akibat dakwaan membabitkan namanya, ruangan media sosial Syafie dihujani dengan pelbagai tohmahan pengguna alam maya.

Kata Syafie, dengan keputusan siasatan itu, sedikit sebanyak ia dapat memulihkan namanya yang tercalar.

Syafie turut mengakui kes berkenaan menyebabkan pendapatan bulanannya terjejas hingga memaksa dia melakukan pekerjaan lain bagi menampung keperluan hidup.

“Bukan mudah untuk pulihkan kembali nama. Bagaimanapun, saya anggap ujian ini sebagai salah satu cara untuk membentuk saya menjadi insan yang lebih baik.

“Saya tidak salahkan warganet yang buat andaian sendiri kerana mereka tidak kenal siapa saya. Sesiapa pun akan buat penilaian sendiri.

“Biarlah orang nak cakap apa pun. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik saja. Biarlah Tuhan sahaja yang balas balik,” katanya.