Naqiu rasa tertekan bawa lagu Tomok
Menjadi peserta pertama yang layak ke minggu ketiga Gegar Vaganza musim keenam (GV6), bekas vokalis kumpulan Boboy, Naqiu, mengakui dia tertekan apabial diberikan tugasan membawa lagu Meraung dendangan asal Newboyz pada Ahad lalu.
Naqiu berkata, sejak awal kemunculannya dalam dunia hiburan dia sudah dibanding-bandingkan dengan penyanyi kumpulan Newboyz iaitu Tomok.
Menurutnya, alasan itu juga membuatnya tertekan apabila diminta mempersembahkan lagu berkenaan pada minggu kedua GV6.
"Saya tertekan sebab orang dulu bandingkan saya dengan Tomok, dan sekarang saya dapat lagu dia," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui selepas sidang media konsert GV6 di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.
Kata Naqiu lagi, Meraung pernah menjadi fenomena pada awal kemunculannya sekitar tahun 2000. Justeru dia cuba untuk menampakkan sisi lain lagu itu bagi mengelakkan disamakan seperti Tomok.
“Saya pernah menyanyikan lagu itu (Meraung) sebelum saya jadi penyanyi,” katanya.
Semasa konsert minggu kedua GV6 baru-baru ini nama Naqiu diumum sebagai peserta pertama layak ke pusingan seterusnya dan dia mengatasi banyak nama lain yang lebih besar dan berpengalaman, seperti Jatt, Wann, dan Sham Visa.
Anak-anak lupa kartun
Minggu pertama dan kedua GV6 menyaksikan peserta diberi lagu yang agak selesa. Bagaimanapun untuk minggu ketika tugasan yang diberikan jauh lebih mencabar.
Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan persembahan itu, Naqiu menjawab tidak, namun tetap bersyukur.
"Walaupun dianggap bagus, sebagai penyanyi kita biasanya akan rasa ada benda lain yang boleh diperbaiki.
“Cuma, alhamdulillah, saya rasa saya dah menjiwai lagu itu,” katanya.
Bersyukur dengan tuah yang menyebelahinya, pelantun lagu Episod Cinta itu tidak menafikan peminatnya meletakkan harapan tinggi untuk dia memberikan persembahan terbaik.
Pada minggu depan, Naqiu akan membawakan lagu berjudul #123 nyanyian asal Khai Bahar.
“Lagu ini lagu orang muda.
"Khai Bahar kot! Dia orang yang punya vokal sangat bagus, besar, dan boleh pergi ke serendah-rendah dan setinggi-tinggi not lagu,” kata penyanyi yang memiliki empat buah album studio itu.
Penyanyi yang pernah berlakon dalam Boboy The Movie pada 2001 itu juga mengakui kelima-lima anaknya mendapat impak daripada pembabitannya dalam GV6.
Katanya, semua anaknya - yang sering menggunakan telefon bimbit untuk menonton cerita kartun - mula lebih tertumpu kepada persembahan dan temu bual Naqiu sepanjang GV6 berlangsung.
“Mereka tengok persembahan saya, mereka terlupa kartun. Jadi sekarang kalau pergi ke mana-mana, anak-anak saya akan cakap ‘saya anak Naqiu Boboy’,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai