Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Alami injap jantung lemah, Mazleela tetap berentap di pentas GV6

Meskipun mempunyai masalah kesihatan injap jantung lemah, penyanyi 90-an Mazleela, tidak gentar untuk berentap di pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ke-6.

“Insya-Allah saya cuba. Saya dah diberi tanggungjawab. Doakan saya buat yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pelantun lagu Diam Tak Bererti Membisu isu berkata, dia menghadapi masalah kesihatan itu sejak tiga tahun yang lalu.

“Mula-mula doktor cakap nak sumbat (sebab) akak tak boleh bernafas. Ingat semput.

“Tapi taklah teruk sangat. Sakit keturunan. Biasalah, faktor usia,” kata penyanyi yang pernah bernaung di bawah label Suria Records bersama-sama Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim dan Anis Suraya.

Minggu hadapan, Mazleela atau nama sebenarnya Mazlila Mazlan menyanyikan lagu Apa Khabarmu Di Sana dendangan asal penyanyi Ramlah Ram.

Disoal mengenai proses latihan untuk minggu kedua pertandingan itu, penyanyi yang memiliki lima album studio itu bersyukur memandangkan lagu tersebut kurang rancak untuk dinyanyikan.

Mengakui dia tersenarai di carta terendah ketika membawakan lagu hitnya berjudul Tabah pada minggu pertama Ahad lalu, penyanyi Apa Salahku itu menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri menggunakan ear monitor yang kadang-kadang mengalami gangguan teknikal.

“Masa nyanyi pada rangkap ketiga lagu, saya dah rasa lain sebenarnya. Bila dah masuk, monitor sebelah kiri tak dengar. Terus hilang," katanya.

Tidak mahu menuding jari terhadap mana-mana pihak, Mazleela tetap menyelesaikan tanggungjawabnya mempersembahkan lagu itu dan dia berharap agar kesihatannya sentiasa terjaga.

“Harap harap kesihatan (terjaga). Yang penting cukup tidur dan emosi kita tak terganggu,” katanya.