M For Malaysia wakili Malaysia di anugerah Oscar
M For Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila mewakili Malaysia ke penilaian Oscar ke-92 bagi kategori anugerah Filem Cetera Antarabangsa.
Menurut pengarah dan penerbit filem itu, Dian Lee, kejayaan M For Malaysia bukan saja membanggakan pihaknya, malah ia menjadi anjakan paradigma buat penggiat industri filem tanah air.
“Kami berbangga hasil kerja bakat-bakat tempatan diangkat ke tahap antarabangsa.
"Sememangnya kami tidak pernah menjangkakan usaha menghasilkan dokumentari ini mampu pergi sejauh itu.
"Kejayaan ini juga tidak akan sempurna tanpa kerjasama dengan Astro Shaw," kata anak taikun hartanah Lee Kim Yew itu dalam satu kenyataan hari ini.
Filem ditayangkan selama empat hari bermula 12 September lalu itu diterbitkan Project M Media dan bahagian pemasaran dan pengedaran dijalankan oleh Astro Shaw.
M For Malaysia ialah dokumentari berkisarkan proses lahirnya Malaysia Baru, bermula dari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga terbentuknya kerajaan PH pada tahun lalu.
Naik lebih tinggi
Filem berkenaan mendapat sambutan positif dengan rata-rata penonton memberi respon tertarik dengan perjalanan dan semangat perjuangan seorang lelaki berusia 93 tahun yang kini bergelar perdana menteri ketujuh Malaysia, iaitu Dr Mahathir Mohamad.
Pengarah dan penerbit bersama M For Malaysia - yang juga cucu Mahahtir - Ineza Roussille turut melahirkan rasa gembira dan menganggap pencapaian itu satu pengalaman hebat.
“Saya rasa berbesar hati kerana M For Malaysia akan mewakili Malaysia.
"Saya harap kejayaan ini akan memberi lebih banyak ruang buat dokumentari tempatan untuk terus berkembang merentasi sempadannya," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, berkata kejayaan itu bermakna satu penghormatan buat negara ini.
Menurutnya, ia juga membuktikan naskhah dokumentari tempatan mampu mendapat tempat di persada dunia, sekali gus meletakkan industri filem Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
"Bagi kami, ini membuka pintu untuk naskhah tempatan diketengahkan dan lebih dikenali oleh orang di luar sana.
"Astro Shaw selaku pengedar dan menjalankan aktiviti pemasaran rasa bertuah kerana penerbit Project M Media meletakkan kepercayaan kepada kepakaran kami untuk bekerjasama dalam dokumentari ini.
"Perjalanan ke anugerah berprestij ini secara tidak langsung mengiktiraf usaha kami memberi yang terbaik.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Finas kerana memberi peluang kepada dokumentari ini untuk di bawa ke anugerah berprestij," katanya.
Untuk rekod, M for Malaysia menerima sambutan yang menggalakkan di pelbagai lokasi antarabangsa selepas tayangan perdananya di CAAMFest di San Francisco, DocEdge di New Zealand dan di Festival Filem Antarabangsa Busan iaitu festival filem terbesar di Asia pada 3 Oktober lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai