Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penggiat seni sambut baik hasrat k'jaan PAS benarkan Makyung

Penggiat seni di Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan negeri membenarkan persembahan hiburan tarian Makyung dipertontonkan kepada umum asalkan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan dan tidak melanggar syariat Islam.

Seorang penggiat seni wayang kulit dan dikir barat Eyo Hock Seng, 64, berkata beliau menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan negeri kerana ia dapat menghidupkan kembali seni kebudayaan negeri ini yang kian pupus.

“Seni ini semakin dilupakan, bahkan sesetengah generasi muda kini pun sudah ketinggalan dan tidak mengetahui seni Makyung,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang seni selama 40 tahun berkata dengan membenarkan seni ini diteruskan, ia dapat memperkenalkan warisan dahulu kepada generasi muda.

“Lagipun seni ini mempunyai keistimewaan tersendiri, malah ianya menjadi santapan jiwa masyarakat setempat suatu ketika dahulu dan kini,” katanya yang berasal dari Kampung Pasir Parit, Pasir Mas.

Sementara itu, seorang lagi penggiat seni Mohd Aswawi Isa, 47, berkata Makyung perlu diberi nafas baharu untuk menghidupkan kembali seni warisan ini.

“Perkara yang berkaitan dengan budaya tidak sepatutnya dihalang dan disekat, kerana jika ditinggalkan ia seolah-olah memberi peluang kepada seni budaya baharu seperti K-pop sehingga seni budaya terdahulu dilupakan oleh generasi muda.

“Malah, jika seni ini tidak diteruskan ia mungkin akan mengecewakan penggiat seni yang memperjuangkan seni warisan ini sejak sekian lama.

“Justeru ini, kita memerlukan orang tengah seperti kerajaan negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan (JKKN) untuk terus mengetengahkan dan mempertahankan warisan ini,” katanya yang juga Pensyarah Muzik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata tiada halangan untuk penggiat seni menjalankan persembahan hiburan termasuk Makyung sekiranya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata, penggiat seni tidak boleh menjadikan peraturan yang ditetapkan sebagai halangan untuk berseni, namun mereka perlu lebih kreatif mengikut garis panduan.

Minggu lepas persembahan Makyung yang mengikut garis panduan kerajaan negeri telah dipertontonkan buat kali pertama di JKKN di Kota Bharu yang mendapat sambutan baik masyarakat.

Mak Yong tidak dibenarkan dipersembahkan secara umum sejak PAS memerintah Kelantan pada sekitar 1991 atas alasan ia mengandungi unsur yang diharamkan dalam Islam.

- Bernama