Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dibodohkan menteri lalu Dian Sastro diangkat peminat jadi puteri reformasi

Tiba-tiba nama Dian Sastrowardoyo menjadi topik perbualan hangat di Indonesia selepas dia dibodohkan oleh seorang menteri berhubung isu cadangan meminda salah satu undang-undang negara itu.

Ia bermula apabila Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, menggelar Dian dengan panggilan jelik itu kerana tidak bersetuju dengan pandangan aktres terbabit.

Terdahulu Dian berkongsi - Instagram - satu tulisan yang dibuat seorang warganet bernama Tunggal P di laman petisyen atas talian change.org.

Dian - yang diingat kerana wataknya sebagai Cinta dalam filem Ada Apa Dengan Cinta - bersetuju dengan hantaran yang mengkritik pindaan Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP), terutamanya yang membenarkan mangsa rogol dipenjarakan sehingga empat tahun sekiranya mereka ingin menggugurkan kandungan.

Tindakan Dian itu sekaligus menimbulkan kemarahan Yasonna.

Menteri itu menganggap Dian tidak meneliti undang-undang terlebih dahulu sebelum melakukan perkara tersebut sehingga membuatkan dia kelihatan sangat bodoh.

Menurut Yasonna lagi, pindaan KUHP sebenarnya dibuat untuk melindungi mangsa rogol, berbeza daripada peruntukan lama yang membolehkan mangsa boleh disabitkan kesalahan jika mereka terus menggugurkan kandungan.

Baik belajar lagi

Bagaimanapun, fasal 470 dalam draf KHUP itu menyatakan sebaliknya.

Mana-mana perempuan yang menggugurkan kandungan mereka ataupun meminta bantuan pihak lain untuk melakukan perkara tersebut boleh dipenjara sehingga empat tahun.

Jika proses pengguguran itu dilakukan tanpa persetujuan dari pihak perempuan pula, mereka yang terlibat boleh dipenjarakan sehingga 12 tahun.

Dian yang tidak mahu mengalah kemudian melakukan hantaran di laman Instagram menyeru pengikutnya untuk membaca dan mengkaji semula pindaan akta tersebut.

Dian bersama Nicholas Saputra dalam Ada Apa Dengan Cinta 2

Dalam hantaran tersebut, Dian memuat naik beberapa keping tangkap layar berkaitan cadangan pindaan KUHP dan pada masa sama membidas kenyataan menteri terbabit.

"Daripada kita berkecil hati dituduh tidak tahu apa-apa, lebih baik kita belajar lagi.

"Seandainya ada penjelasan yang lebih lanjut mengenai KUHP, sila salurkan kepada masyarakat dengan lebih baik. Sekian dan terima kasih," kata Dian

Pendirian Dian berhubung isu itu juga turut mendapat sokongan besar warganet di sana dan turut mendapat perhatian rakan artis, Sujiwo Tejo.

Sujiwo dalam satu ciapannya di Twitter memuji tindakan artis tersebut dan turut menggelar Dian sebagai puteri reformasi.