Azhan insaf lepas 'membazir' untuk bersusah-payah di Nepal
Kedatangan ramai peminat aktiviti lasak mendaki gunung ke Nepal kadang-kadang menghairankan penduduk negara itu yang menganggap rakyat Malaysia rela 'membazir' demi merasai sendiri pengalaman berpayah-payah.
Pelakon, Azhan Rani, adalah antara pendaki yang perlu membayar dengan harga yang tinggi untuk melalui kesukaran di situ, atau secara khusus menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) di ketinggian 5,364 meter (m) dari aras laut itu.
Azhan yang berjaya tiba di EBC pada 10 Sept lalu berkata antara cabaran yang dihadapinya bersama anggota lain dalam rombongan itu ialah, mereka perlu berurusan menggunakan mata wang dolar AS.
“Penduduk Nepal anggap orang Malaysia yang datang sini semua kaya-raya sebab sanggup bayar mahal-mahal untuk merasai kesusahan,” katanya.
Azhan, 43, ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Motif, di sebuah kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Filem yang turut dijayakan Sharifah Amani, Rosyam Nor dan Iedil Dzuhrie Alaudin itu dijadual menjengah pawagam pada 26 Sept ini.
Pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Hamadi melalui drama bersiri Nur itu memulakan ekspedisi ke EBC pada 31 Ogos lalu.
Dia berjaya menawan EBC bersama 26 pendaki lain termasuk lima pengamal media dan enam pendaki dari Brunei.
Selain EBC, Azhan turut menawan puncak Gunung Kala Patthar setinggi 5,550m dari aras laut pada 9 Sept dan pulang ke Malaysia 17 Sept lalu.
Berkongsi lanjut pengalamannya, Azhan berkata, harga perlu dibayar untuk keperluan asas berbeza-beza mengikut lokasi pendaki bermalam.
“Air mineral seliter pun boleh cecah sampai RM30. Itu baru air mineral, belum mandi air panas lagi. Nak mandi pun kena bayar.
“Apabila semakin tinggi, keperluan asas akan menjadi semakin mahal. Tu tak termasuk harga cas telefon genggam,” katanya.
Menyedari segala-galanya perlu menggunakan wang, Azhan berkata, pengalaman mengikuti ekspedisi itu memang banyak menginsafkan selain mengajarnya erti menyukuri nikmat yang ada di negara sendiri.
“Masa tu saya insaf sebab kita di sini mewah, guna air sesuka hati sedangkan di sana perlu dicatu.
“Pada ketinggian tertentu, pendaki perlu membayar untuk mendapatkan oksigen tambahan, sedangkan di sini kita tak perlu membayar apa-apa untuk itu,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai