Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penapis filem Indonesia dikecam tegur Spongebob

Pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar, menyifatkan penilaian dikeluarkan badan pemantau Komisi Penyiaran Indonesia (KPI) sebagai tidak lagi boleh diyakini.

Pandangan itu dibuat selepas KPI melayangkan teguran terhadap stesen televisyen dan radio berhubung siaran mereka, dengan salah satunya ialah The Spongebob Squarepants Movie.

“Bagi saya, kalau sampai ada satu lembaga boleh keluarkan kenyataan berhubung tayangan seperti Spongebob itu sebagai melanggar norma-norma masyarakat, badan tersebut tidak perlu dipercayai untuk menilai apa pun di dunia ni.

“Ini memang tak masuk akal,” katanya.

The Spongebob Squarepants Movie adalah antara animasi yang beberapa kali terjejas dengan keputusan KPI.

Untuk rekod KPI ialah agensi yang meneliti dan membuat keputusan sama ada sesebuah siaran TV atau filem itu sesuai untuk ditayangkan atau tidak. Ia kira-kira sama fungsinya dengan Lembaga Penapis Filem di Malaysia.

KPI menegur beberapa babak The Spongebob Squarepants Movie yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum, seperti pakaian Sandy si tupai, hingga adegan dianggap memaparkan keganasan iaitu aksi memukul dengan kayu, menjatuhkan bola boling di kepala dan memukul pasu bunga kaktus.

Selain The Spongebob Squarepants Movie, KPI juga memantau sejumlah tayangan lain seperti Ruqyah, Obsesi, Headline News, DJ Sore dan Fitri.

Selain itu, KPI juga mengeluarkan surat teguran terhadap salah satu saluran televisyen swasta kerana menayangkan promosi filem Gundala - arahan Joko - yang didapati mengandungi kata-kata kesat.

Joko Anwar

Bagaimanapun, Joko mendakwa kenyataan pedas dibuatnya itu bukan disebabkan karyanya antara yang dipantau KPI.

Pengarah Pengabdi Setan itu mengeluarkan kenyataan tersebut untuk menunjukkan bahawa kerajaan - melalui institusi tertentu - masih menganggap rakyat Indonesia belum cukup bersedia dan terbuka.

“Kalau masih ada lembaga yang mengatakan ini boleh ditonton, ini tak boleh ditonton, bererti masyarakat Indonesia masih dianggap sebagai masyarakat yang bodoh kerana tidak boleh menilai apa yang patut untuk mereka, keluarga dan ana-anak,” katanya seperti dipetik CNN Indonesia.

Menurutnya, masyarakat Indonesia mulai berasa marah dan gelisah kerana wujud lembaga yang menentukan apa yang terbaik untuk mereka.

“Justeru, saya anggap yang KPI tak wajar lagi berada di Indonesia. Bubarkan KPI,” katanya lagi.

Sementara itu, KPI menjelaskan keputusan untuk menegur dibuat selepas terdapat bukti-bukti pelanggaran dan mengadakan mesyuarat jawatankuasa.

Hasil diperoleh daripada mesyuarat itu dijadikan teguran atau hukuman kepada saluran-saluran televisyen yang dianggap melanggar peraturan.