Habis RM15,000, Safura kecewa Dendam Kemala belum dilancarkan
Penyanyi Safura mendedahkan dia sudah menghabiskan wang berjumlah RM15,000 demi menyiapkan single terbarunya, namun sehingga kini ia masih belum dilancarkan.
Safura berkata, dia berasa kecewa dengan komposer lagu berkenaan, Asfan Shah kerana belum mengotakan janji untuk membantu melancarkan Dendam Kemala yang telah siap dirakam sejak Januari lalu.
“Semua saya dah bagi. Material semua dah serahkan pada komposer, dan dia dah bagi pada syarikat rakaman.
“Saya kecewa sebenarnya. Janji lancarkan bulan Mac (tapi) tak jadi. Apa masalah dia?
“Saya dah siap rakam vokal, proses mastering dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.
Pelantun lagu Rinduku Purnama Mu itu mendakwa, Asfan sudah berjanji membantunya kerana dia juga salah seorang artis yang turut bernaung di bawah syarikat rakaman sama.
“Itulah janji-janji Asfan. Sebab dia memang artis di bawah label sama. Jadi, bila nak berurusan itu mungkin senang sedikit sebab dia yang berjanji dengan saya,” katanya.
Namun, Safura berkata, dia bukanlah seorang yang cerewet dan jika ada mana-mana syarikat rakaman tidak mahu menggunakan khidmatnya, lebih baik berterus-terang.
“Saya mudah. Kalau tak nak cakap tak nak. Saya pergi bawa tempat (syarikat rakaman) lain. Saya pegang pada janji dan kata-kata dia nak tolong. Itu saja.
“Saya pun tak adalah nak paksa sebab dia nak tolong,” katanya.
Dendam Kemala merupakan lagu ciptaan Asfan Shah dan Rafikoncept dan lirik dihasilkan Fedtri Yahya, menyuntik rentak etnik moden yang berbeza dengan lagu yang pernah dinyanyikan Safura sebelum ini.
Pemilik nama penuh Safura Ya’cob itu juga menegaskan dia sebenarnya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa termasuk Asfan, yang dianggapnya seorang yang baik.
“Saya tidak mahu bermusuh dengan dia. Dia seorang yang baik. Memang sangat tertarik untuk buat lagu artis-artis lama sebab bekerja dengan artis lama adalah satu peluang.
‘“Dia pun cuma nak tolong, tapi tolong itu macam tolong berjanjilah. Kita pun bukannya dapat lagu percuma. Kita bayar," katanya.
'Kerja saya hanya tulis lagu'
Sementara itu, Asfan menjelaskan, dia sudah melakukan sehabis baik untuk membantu Safura, namun isu untuk melancarkan lagu berada di luar bidang kuasanya.
Penyanyi lagu Sumpah Cintaku itu berkata, tugasnya selain daripada menyanyi hanyalah sebagai penulis dan penerbit lagu.
“Sebenarnya, saya tidak ada kuasa untuk jawab kenapa lagu itu tak dilancarkan. Saya bukan pemilik mana-mana syarikat rakaman.
“Kerja saya hanya menulis lagu dan saya buat kerja sampai siap sajalah,” katanya.
Asfan berkata, dia masih lagi berbincang dengan Safura dan positif untuk membantunya memasarkan lagu berkenaan di tempat lain sekiranya syarikat rakaman yang disasarkan masih belum memberi kata putus.
“Dia (Safura) minta saya tolong. Jadi saya ingin tolong sebab saya baik dengan dia dan pengurus. Katakan syarikat rakaman A tidak boleh, kita teruskan dengan syarikat rakaman lain.
‘’Saya berbincang dengan Safura. Saya tak dibayar untuk tolong lancarkan lagu.
"Saya sebenarnya nak lagu dilancarkan secepat mungkin. Sebab saya rasa lagu itu sangat kuat dan Safura nyanyi lagu itu sangat bagus,’’ katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai