Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Butterfingers nak bawa peminat kembali ke era lewat 90-an

Apa yang dinanti-nantikan peminat Butterfingers bakal menjadi kenyataan apabila kumpulan muzik itu - yang merupakan pemain utama era kegemilangan muzik bebas dan grunge sekitar 1990-an - bakal mengadakan konsert di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 2 November depan.

Dinamakan Konsert Transcendence 20 Tahun, Loque (vokal/gitar/keyboard), Emmett (vokal) Kadax (bass) dan Loko (dram), akan sekali lagi berkongsi pentas bagi meraikan ulang tahun Transcendence, album ketiga Butterfingers dan yang telah menaikkan nama mereka dalam dunia seni tempatan satu masa dulu.

Mengulas lanjut, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar berkata konsert itu sebenarnya sudah lama "diperap".

"Idea ni lama diperap dan sekarang masa yang terbaik untuk menjayakannya," katanya dalam kenyataan.

Dia berkata ia boleh dianggap sebagai menebus kembali persembahan Butterfingers di Festival Rockaway pada 2016 yang menurutnya tergendala akibat arahan polis ketika itu.

"Ia menimbulkan kemarahan serta kekecewaan para peminat yang menantikan kami. Persembahan kali ni untuk menebus semula hutang tersebut dengan memainkan hanya lagu-lagu grunge kami ," katanya lagi.

Loque

Sementara itu, Kadax berkata konsert itu adalah jawapan peminat mereka yang kerap bertanya bilakah Butterfingers akan mengadakan reunion.

Selain Transcendence, Butterfingers menghasilkan lima lagi album studio, antaranya 1.2 Milligrams (1996), Butter World Pushful (1997), dan Selamat Tinggal Dunia (2005).

Transcendence mencatat jualan lebih 60,000 unit dan membawa kumpulan itu menembusi arus perdana pada masa itu.

Loque berkata mereka merancang untuk membawakan lagu-lagu popular mereka di konsert itu nanti agar hadirin "berada semula di zaman lewat 90-an".

Dia juga menjelaskan pemilihan lokasi konsert yang menurutnya memiliki nostalgia tersendiri yang dilakar kira-kira 20 tahun lalu.

"ketika membuat persembahan "The Last War" di sana, sebelum lagu The Faculties of The Mind dimainkan, Emmett berkata I hate the lights, I don’t want to be a star.

"Oleh itu, saya merasakan Stadium Malawati merupakan tempat yang mempunyai nostalgianya yang tersendiri dan saya mahukan momen sedemikian untuk dihidupkan kembali," katanya.

Konsert Transcendence 20 Tahun itu anjuran bersama kerajaan Selangor, Penerbitan Pancasona serta sempena Selangor Youth Republic 2019.

Penjualan tiket akan diumumkan tidak lama lagi.