Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tragedi berlaku depan mata

Hadirin termasuk petugas media yang menyaksikan pelancaran Divisyen Kelima Infantri dan Briged ke-13 Infantri di Kem Lok Kawi dekat Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi tidak menyangka acara demonstrasi di majlis itu berakhir dengan tragedi meragut nyawa seorang pegawai komando.

Seperti yang diumumkan oleh pengacara majlis, aksi gimik itu menyaksikan pertembungan antara ‘kumpulan pengganas’ dengan tentera menggunakan peluru hidup.

Ia merupakan acara akhir pada majlis tersebut bagi menunjukkan anggota pasukan keselamatan menumpaskan kumpulan pengganas.

Kesemua mereka memakai jaket kalis peluru semasa melakonkan aksi-aksi tersebut.

Pegawai Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas Mej Mohd Zahir Armaya memainkan watak sebagai ketua kumpulan pengganas dalam demonstrasi tersebut.

Bernama yang membuat liputan acara pelancaran itu melihat gimik dengan Mohd Zahir secara berhadapan melepaskan sedas tembakan menggunakan pistol terhadap seorang pegawai tentera menyebabkan pegawai tentera itu dilihat menahan kesakitan dan berlutut.

Selepas itu, pegawai berkenaan bangun semula dan melepaskan sedas tembakan menggunakan pistol ke arah Mohd Zahir yang berdiri dalam jarak dekat secara membelakang dengan sasaran satu botol berisi cecair merah di jaket kalis peluru dipakai Mohd Zahir.

Tembakan itu menyebabkan Mohd Zahir terus rebah dan tidak bangun semula lalu dua anggota tentera menariknya ke tepi padang kawad.

Disahkan meninggal di hospital

Mohd Zahir kelihatan tidak sedarkan diri dan dipercayai mengalami kecederaan serius.

Wartawan Sabah News Today, Junaidi Ladjana, yang turut membuat liputan pada majlis pelancaran itu, berkata beliau terkejut menyaksikan kejadian itu dan merasa sedih apabila mengetahui pegawai tentera terlibat meninggal dunia.

"Waktu kejadian selepas tembakan itu, kami rasa macam latihan sebab dia komando (Mohd Zahir) tetapi bila dia dibawa ke tepi padang kawad dan diberi bantuan dan nampak ada percikan darah di badan dia itu kita rasa terkejut.

"Biar betul ini, sebab kita hairan aksi gimik itu menggunakan peluru betul. Saya terkejut dan sedih selepas itu mengetahui anggota tentera itu meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika aksi gimik itu," katanya.

Dia berkata kejadian itu menunjukkan betapa tingginya pengorbanan anggota tentera yang menjalankan apa sahaja tugas tanpa mengira risiko bahaya.

Anggota perubatan tentera yang berada di majlis pelancaran itu kelihatan memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu.

Mohd Zahir disahkan meninggal dunia kira-kira 9.20 pagi di hospital itu.