Siti Zainon nak kekal bersahabat dengan Malim
Di sebalik rasa tidak puas hati disuarakan Dr Malim Ghozali PK, Sasterawan Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail berharap persahabatannya dengan penulis dari Perak itu akan kekal "tenang".
Malah menurut Siti Zainon, mereka bersahabat baik dan sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Justeru, katanya, tidak timbul isu beliau marah atau tidak puas hati apabila Malim melontar sebarang pendapat mempertikai keputusan dibuat Kementerian Pendidikan itu.
"Hak masing-masing nak suarakan pendapat, dan saya tak marah kerana sebagai pengkaji sastera, kami saling menyokong antara satu sama lain.
"Saya sendiri baca novel beliau," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Tidak cukup dengan itu, untuk menunjukkan keakraban mereka, Siti Zainon - yang turut melukis - memberitahu, Malim sendiri pernah memberikan bantuan kepadanya.
"Beliau pernah undang saya ke majlis ilmu, selain berusaha menjual lukisan saya," katanya.
Siti Zainon ditemui di rumah bukunya di Kampung Padang Balang, di pinggir Kuala Lumpur hari ini.
Banyak benda lain lagi
Semalam di Putrajaya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek mengumumkan Siti Zainon dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera ke-14.
Pengumuman itu dibuat ketika peminat sastera negara tertunggu-tunggu siapakah bakal penerima anugerah paling berprestij dalam bidang kesusasteraan negara.
Sebelum itu bertebaran khabar-khabar angin serta dakwaan mengenainya, termasuk dakwaan pemilihan dicampuri tangan-tangan politik.
Selepas pengumuman itu dibuat, Malim - atau nama asalnya Mohamed Ghazali Abdul Rashid - menyifatkan pemilihan Sasterawan Negara itu sebagai "samun di siang hari".
Beliau yang berasakan dirinya lebih layak menerima anugerah berkenaan dan turut mendakwa pemilihan Siti Zainon dicampuri unsur politik, selain mempertikaikan kehadiran dua tokoh tambahan dalam panel penilai sebagai tidak mempunyai kepakaran.
Sasterawan Negara keenam, Prof Dr Muhammad Haji Salleh bagaimanapun mempertahankan Siti Zainon sebagai penerima tepat anugerah itu dan memang layak.
Siti Zainon berkata walaupun bergelar Sasterawan Negara ke-14, beliau ingin menjalin hubungan baik dengan semua pihak.
Baca Selepas Anak Alam suara seniman cuma di angin lalu
"Seboleh-bolehnya tak mahu persahabatan yang baik terganggu. Saya mahu bersahabat baik secara tenang dengan semua orang," katanya.
Penulis novel dan pengkaji seni budaya itu berkata, beliau juga tak mahu melayan kritikan segelintir pihak serta penggiat seni yang terkejut dengan pengumuman semalam.
"Apabila timbul isu begini saya sudah bersedia tak mahu layan kerenah mereka.
"Bagi saya ni tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjawab.
"Lagipun berat kepala saya kalau nak bising-bising hal sebegini sedangkan banyak lagi perkara lain boleh difikirkan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai