Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mengait benang-benang pembohongan

ULASAN | Barangkali masyarakat kita sering terbawa-bawa dengan segala macam bentuk emosi buntu yang dijahit pada benang-benang khayal pembohongan.

Baru-baru ini sebuah telefilem berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi digasak dan didesak oleh sekumpulan orang yang menggelarkan diri sebagai agamawan.

Mereka mendesak agar telefilem itu diharamkan.

Kandungan Demi Tuhan Aku Bersaksi kononnya berniat jahat serta mampu mencalarkan imej institusi pendidikan tahfiz di mata masyarakat.

Sementara itu pada 31 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azman Abdullah, mendapati pihak pendakwaan berhasil membuktikan prima facie terhadap kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim lalu memerintahkan 18 daripada 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh menyebabkan kematian Zulfarhan segera mempersiapkan diri bagi menjalani prosiding pembelaan.

Seorang lagi dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Keputusan tersebut telah menamatkan penantian satu tahun sembilan bulan ibu bapa Zulfarhan. Bapanya menyambut keputusan itu dengan melakukan sujud syukur dan menadah tangan penuh kesyukuran.

Lebam jadi 'pakaian'

Hal itu kerana separuh daripada perjuangan mereka bagi menuntut keadilan buat Zulfarhan menampakkan perkembangan.

Kematian selalu dikaitkan dengan kepasrahan.

Menerima takdir ajal seseorang yang kita sayangi sering dipadankan dengan tingkat dan tahap keimanan.

Namun nasib yang menimpa Zulfarhan tidak semudahnya untuk kita semua terima dan telan. Malah perit dan kesakitan yang ditanggung Zulfarhan masih menghantui ibu bapa dan satu-satunya teman yang dibebaskan daripada tuduhan.

Zulfarhan yang dikurung, ditumbuk dan ditendang oleh lebih daripada 10 orang. Dia juga didakwa dibelasah dengan penyangkut baju dan batang penyodok sampah sebelum tubuh badannya ditekap dengan seterika panas.

Dalam keadaan tertiarap - dengan kaki dan tangan terikat - Zulfarhan hanya mampu menjerit meminta tolong serta menggelupur dan mengerang melawan kesakitan. Tubuh Zulfarhan mula lebam lalu menggelembung akibat lecur yang teruk sehingga menyebabkan banyak pendarahan.

Beberapa tompokan hitam mula jadi 'pakaian' badan Zulfarhan.

Peluh dan darah yang memenuhi lantai dibilik 04-10 blok penginapan asrama Jebat UPNM adalah lambang kesakitan, penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Zulfarhan sampai akhirnya dia tewas dan terkulai bertemu tuhan.

Tidak hanya di UPBN, peristiwa buli sebegitu sering berlaku di banyak institusi pendidikan. Pusat tahfiz serta banyak sekolah-sekolah kelolaan kerajaan dan persendirian tidak terkecuali.

Buli bukan hanya terjadi di negara ini, malah gejala jahat itu turut berleluasa diseluruh dunia sehingga mencatatkan sekian banyak kematian.

Bagaimana kalau sekumpulan agamawan yang menentang telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi itu cuba menjadi manusia yang benar-benar berakal? Kemudian mereka merenung keindahan alam ciptaan tuhan ini dari mata seni dan cuba memberi peluang pada seni untuk dimartabatkan sebagai sekolah pemikiran yang bisa saja datang dalam bentuk kritikan atau renungan.

Seni filem bukanlah pemanis yang dibungkus dengan paket cantik hiburan. Ia adalah cerminan masyarakat yang boleh menjadi medium untuk menyedarkan orang ramai agar tidak terpesong lalu dibawa emosi melulu yang dijahit dengan benang-benang khayal yang penuh pembohongan.

Masyarakat di Korea Selatan pernah dipertontonkan dengan beberapa filem seperti Silenced dan Thread of Lies. Kedua-duanya menjadi wacana intelektual seni mengenai bahayanya penderaan dan pembulian yang didiamkan.

Filem Thread Of Lies arahan Lee Han yang diterbitkan pada 2014 adalah filem yang dibikin berdasarkan sebuah novel terbitan 2009 tulisan Kim Ryeo-ryeong berjudul Uwahan Geojitmal.

Thread Of Lies mengisahkan kesakitan dan penderitaan yang ditanggung dua beranak iaitu Hyun-sook - seorang ibu tunggal - dan Man-ji seorang anak gadis dingin yang meneruskan penghidupan setelah kematian Cheon-ji dalam suatu kejadian bunuh diri yang penuh persoalan.

Bukan wanita dangkal

Filem itu menjelaskan betapa eksploitasi daripada perlakuan buli itu berlaku dengan meluas dalam masyarakat, malah ia tidak pernah dikawal dan diatasi secara serius melalui perhatian yang wajar.

Perasaan sesal dan rasa bersalah itulah yang terpaksa ditelan oleh Hyun-sook yang bergelut mencari rezeki sebagai jurujual sambil bersendirian membesarkan anaknya.

Sementara itu Man-ji yang mula berasa dirinya seorang kakak yang gagal dan memualkan.

Hyun-sook cuba bangkit bagi meneruskan hidup daripada sebuah tragedi kematian yang tidak pernah dia jangkakan. Dia bukanlah seorang ibu dangkal yang mengabaikan kedua orang anak yang dia lahirkan. Sebaliknya dia amat disayangi oleh Cheon-ji yang berpewatakan lebih beradab berbanding kakaknya Man-ji yang sering degil dan menurut hati dan perasaan.

Rasa bersalah pada Cheon-ji menjadikan siang dan malam mereka dua beranak begitu berat sehingga menerbitkan naluri ingin tahu tentang apakah sebenarnya penyeksaan yang dialami Cheon-ji sehingga dia nekad mengantung diri.

Pencarian Man-ji bagi mengetahui punca sebenar adiknya, Cheon-ji, membunuh diri telah berubah menjadi suatu perjalanan yang sangat menyakitkan.

Melalui pencarian dan perjalanan itu, barulah Man-ji sedar betapa dia tidak mengenali diri adiknya yang sebenar.

Suatu hari semasa Hyun-sook mengait jahitan yang menjadi hobi Cheon-ji, dia diketemukan dengan sekeping nota pada hujung gumpalan benang yang ditinggalkan anak bongsunya itu.

Rupa-rupanya sebelum membunuh diri Cheon-ji meninggalkan lima keping nota tulisan tangan yang diselit dalam gumpalan benang yang dia tinggalkan untuk ibu, kakak serta tiga rakan.

Nota itu sekali gus merungkai persoalan yang selama ini dipertanyakan Man-ji.

Cheon-ji didera menderita kerana didera dan dibuli kawan-kawan yang sebenarnya tidak berniat untuk melakukan penyeksaan itu secara sengaja.

Thread Of Lies dilengkapkan pada penghujung cerita melalui suatu penemuan yang menggamamkan.

Filem itu tidak menutup naratif indah perlahannya dengan kesempatan Man-ji menemukan nota kelima Cheon-ji sebagai pengakhiran. Kerana nota terakhir Cheon-ji yang dia sisip pada gumpalan benang merah warna darah itu ternyata adalah untuk khalayak masyarakat dan penonton yang menyaksikan.

Mangsa kepada jenayah pembulian sehingga jadi punca kematian bukanlah hanya seorang Zulfarhan. Tetapi kesengsaraan itu turut ditanggung oleh kedua ibu dan bapa Zulfarhan.

Thread of Lies mengajak masyarakatnya agar lebih sensitif dan proaktif dengan persekitaran, kerana buli boleh dihentikan lalu, banyak kematian dapat dielakkan.

Bagaimana kalau seni diberi peluang jadi alat pemikiran? Hal itu perlu diusahakan agar esok tidak ada lagi kejadian dua surat yang dilayang bagi menyelamatkan Zulfarhan disambut dingin dan bebal oleh pengawal sebal.

Kerana seni juga adalah institusi pendidikan.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.