Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Google rai hari lahir Sudirman dengan doodle

Sempena ulang tahun kelahiran penyanyi legenda Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Google menampilkan doodle khas sebagai tanda penghargaan kepadanya.

Google Malaysia menyorot sumbangan Sudirman yang disifatkannya sebagai ikon yang telah meninggalkan impak amat besar dalam bidang muzik.

"Hari ini Google meraikan hari lahir ke-65 seorang legenda Malaysia.

"Muzik Sudirman menceritakan kisah kehidupan dengan cara tersendiri. Tak hairanlah Salam Terakhir, Hujan dan Pelangi Petang oleh legenda Malaysia ini paling kerap dicari oleh rakyat Malaysia," ciapnya di Twitter.

Kenyataan itu diiringi tanda pagar seperti #LagendaMalaysia dan #MalaysianLegend.

Pengguna Google di Malaysia boleh melihat penghargaan tersebut di laman utama Google. Klik di situ dan anda akan dibawa ke keputusan carian "Sudirman Haji Arshad".

Doodle tersebut memaparkan lakaran penyanyi tersebut sedang mengadakan persembahan di pentas.

Sudirman yang juga digelar the singing lawyer lahir di Temerloh, Pahang pada 1954.

Dia menghembuskan nafas terakhir akibat masalah radang paru-paru pada Februari 1992. Ketika itu dia baru barusia 37 tahun.

Antara detik bersejarah yang pernah dilakar Allahyarham ialah persembahan terbukanya di Jalan Chow Kit, yang dikatakan ditonton kira-kira 100,000 hadirin, serta dinobatkan sebagai seniman terbaik Asia di pertandingan Asian Popular Music Awards 1989 di London.