Hijjaz bernasyid dengan rap untuk tarik pendengar muda
Kumpulan Hijjaz cuba tampil dengan kelainan untuk menyampaikan dakwah mereka apabila mempertaruhkan lagu nasyid dengan suntikan irama rap demi menarik perhatian pendengar khususnya generasi muda.
Menurut seorang daripada anggotanya, Munif Ahmad, pendekatan itu bagaimanapun bukanlah disebabkan konsep biasa sudah tidak laku lagi.
Sebaliknya, kata Munif, lagu mereka diolah dengan unsur kontemporari bagi memastikan ianya selaras dengan selera terkini
“Bukan tak laku, masih ada peminat mengikuti dan mendengar lagu-lagu nasyid.
“Cuma apabila usia sudah meningkat saya rasakan HIjjaz perlu mengilhamkan idea baru untuk pendengar lebih muda pula,” katanya.
Untuk rekod, Hijjaz baru-baru ini melancarkan Lafaz Salam, sebuah single yang menampilkan Jeff A to Z untuk menyanyikan rap di dalamnya.
Kata Munif, memang pada awal ada perasaan bimbang terhadap reaksi diberikan peminat kepada lagu itu ada menghantui mereka.
“Mula-mula kita rasa takut dengan penerimaan pendengar sebab kami tak pernah buat nasyid yang mengetengahkan rap.
“Tapi kami tetap mahu cuba juga sebab dah sebelum ini pernah dijalinkan dengan irama lain dan dengan artis lain, nanti tak banyak perbezaan,” katanya.
Bagaimanapun, Munif berkata, mereka cuba menuai sikap positif apabila ramai peminat mula menyatakan minat terhadap lagu-lagu Hijjaz terutama selepas mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam program Gema Gegar Vaganza 2017.
Dalam persembahan akhir itu, peserta diberi tugasan untuk menyampaikan lagu rap atau hip hop.
Selain Munif, Hijjaz turut dianggotai oleh Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.
Sementara itu, menurut Isman, melalui irama rap lebih banyak mesej dakwah boleh disampaikan kerana lirik-liriknya tidak menampilkan unsur pengulangan.
“Gabungan nasyid dan rap saya rasakan lebih bagus sebab kita boleh banyakkan mesej, rap ni tak ada ulang-ulang,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru, peminat boleh menyaksikan persembahan Hijjaz dalam persembahan Majlis Iftar @ Garden Palace bersempena sambutan majlis berbuka puasa Ramadan nanti.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai