Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Terang Bulan bercerita tentang pergulatan dalaman

ULASAN BUKU | Ketika kebiasaannya saya hanya membaca novel yang mendatangkan lelaki kacak menabur ayat bunga, terdetik pula hati ingin meluaskan ruang pembacaan.

Terang bulan ialah karya sulung Mohd Fakhrull Abd Halim yang diterbitkan dan memberi gambaran perjuangan mencari serta mengenali diri sendiri.

Sebagai pembaca kita biasanya lebih gemar melihat dengan mata kasar terdahulu sebelum menilai isi penceritaan.

Dari halaman-halaman awal novel ini, dilihat jelas tajuk yang dinyatakan bersama paparan gambar yang sesuai dengannya iaitu bulan dan seorang jejaka.

Ia dipersembahkan dengan tona biru gelap dan hitam menyuramkan kulit depan buku, tetapi setelah membaca sinopsisnya, pembaca mendapati ia bersesuaian dengan tema.

Novel ini mempunyai 22 bab dengan 240 halaman - justeru ia tidak terlalu tebal tetapi tidak pula terlalu nipis.

Karya yang mula ditulis pada 2015 itu bergenre mistik dan terus-menerus menyuap pembaca dengan detik-detik seram dan cemas.

Di dalamnya ada peristiwa kematian tragis yang disulami dengan perjalanan ke dunia lain. Malah sesetengah kejadian boleh diibaratkan seperti tidak masuk akal.

Banyak ketagih melampau

Menurut Fakhrull, proses penghasilan buku ini mengambil masa lebih kurang setahun kerana kajian demi kajian harus dilakukan supaya penceritaannya jelas.

Jika diteliti konteks naskhah ini, penulis ada menyentuh tentang terapi penyembuhan secara rohani iaitu daripada kaedah Pondok Inabah.

Pondok Inabah merupakan sebuah institusi pusat yang berpangkalan di Suryalaya, Jawa Barat, Indonesia yang beramal dengan Tarikat Qadiriyyah Naqsyabandiyyah dan menekankan konsep makrifatullah (mengenal Allah) serta taubat.

Apa yang menariknya kaedah itu bukan saja digunakan untuk merawat jiwa, bahkan meliputi rawatan dan pemulihan bagi mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta ketagihan melampau.

Kaedah itulah yang digunakan bagi merawat watak utama Terang Bulan, Badar, kerana dia mempunyai masalah ketagihan melampau pada beberapa kegiatan.

Penulis Terang Bulan

Watak yang dimainkan penulis dalam Terang Bulan mempunyai dua jalan cerita yang berbeza.

Penulis juga membingkaikan Badar dan watak-watak lain dengan nama yang dipilih khusus kerana membawa maksud tertentu dan seterusnya membentuk jalan cerita.

Badar - misalnya - bermaksud bulan purnama dan dari situ penulis mengembangkan watak tersebut untuk membentuk penceritaan yang lebih luas.

Begitu juga watak Sin yang bergelumang dengan dosa.

“Setiap manusia adalah bulan, ada sebelah sisi yang tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapa,” adalan antara dialog yang menarik dipaparka melalui watak dalam Terang Bulan.

Setiap babak kisah itu juga saling berkaitan dan hanya boleh dirungkai selepas naskhah berkenaan selesai dibaca sehingga ke halaman terakhir.

Misteri dan tanda tanya - itulah yang 'mengikat' pembaca untuk terus menatap halaman demi halaman novel berkenaan.

Namun begitu, mungkin ada pembaca keliru kerana setiap penceritaan mempunyai konflik yang berbeza.

Bagi sesetengah orang Terang Bulan mungkin mengingatkan mereka kepada filem Desolasi arahan Syafiq Yusof terbitan Skop Production.

Pengarah itu memang terkenal dengan cerita yang berunsur mistik dan fiksyen sains.

Dalam Terang Bulan juga ada unsur nasihat dan pedoman yang dapat diambil pembaca.

Misalnya Fakhrull memberitahu pembaca bahawa kebahagian sebenar manusia ialah apabila dapat melakukan perkara yang disukai.

  • Judul: Terang Bulan
  • Penulis: Fakhrull Halim
  • Penerbit: Prolog Media
  • Tebal: 240 halaman
  • Harga: RM25