Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Mengharap Finas memandaikan masyarakat

ULASAN | Kerajaan apa pun yang berkuasa dan memerintah, seringnya tidak ia peduli dan benar-benar serius dengan seni, bahasa dan sastera.

Sebagai sebuah negara yang pernah kaya dengan kehalusan seni dan ketinggian khazanah sastera dan bahasa, malang buat kita apabila tidak pernah ada pemerintah berupa menteri mahupun raja yang berkeinginan membawa pulang khazanah seni, sastera dan budaya negara yang ada di beberapa kota seperti di Leiden.

Selain manuskrip asal karya-karya hikayat dunia Melayu yang banyak dibiarkan jauh dari tanah dan bumi negara, kita juga sebenarnya kaya dengan khazanah filem yang pernah dicipta seniman dan karyawan kita semenjak 1927.

Ia adalah waktu kita mula memahami kepentingan filem lalu cuba untuk menerbit dan menghasilkannya.

Hari ini - pada 2019 - industri filem kita masih terlalu jauh ketinggalan. Kerajaan PH yang kononnya akan datang membawa sinar harapan sebaliknya mengambil masa 10 bulan hanya untuk mengisi jawatan tertinggi dalam industri perfileman dengan satu nama yang cukup mengecewakan.

Sejarah 38 tahun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) boleh disemadikan ke liang lahad sebaik saja perlantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) barunya diumumkan.

Malahan riwayat perbadanan kemajuan filem negara itu telah siap untuk ditalkinkan sebaik CEO itu menyatakan rancangannya mahu mengeksport bakat tempatan sebagai inisiatif sulung.

Semenjak Finas mula diwujudkan pada 1980, nama perbadanan itu sering kali disebut dan dikaitkan dengan industri perfileman tempatan yang kecil saja dunianya.

Dengan visi untuk menjadi peneraju kepada industri perfileman Malaysia agar ia diangkat ke peringkat antarabangsa, Finas sejak itu dilihat sebagai lubuk dana tempat kerajaan memberikan pelbagai jenis geran kepada para penggiat filem tempatan.

Finas barangkali adalah “kotel” atau tembok ratapan bagi seluruh penggiat industri perfileman. Ia menjadi tempat mengaduh, meratib dan meratap bagi merealisasikan doa dan impian yang mereka sedang rancang dan hajatkan.

Begitulah Finas menjadi 'tuhan' memberikan rezeki dan rahmat kepada sejumlah manusia yang mencari makan daripada hasil kerja-kerja perfileman.

Pada 2012, sewaktu Filem Negara Malaysia ditutup dan secara rasminya digabungkan dengan Finas, menteri penerangan sewaktu itu - Rais Yatim - dalam satu temu bual dengan wartawan menyebutkan, tumpuan pindaan itu adalah bagi memastikan tiada pertindihan fungsi dan tugas, selain mahu meninggikan perkhidmatan pengeluaran filem kebangsaan yang lebih berkesan selain lebih giat menggalak, membangun dan meninggikan produktiviti.

Peranan Finas dalam penggabungan tersebut adalah untuk menghasilkan filem-filem nasionalistik yang diakui tidak memberi banyak keuntungan.

Justeru menurut Rais adalah sangat bertepatan bagi Finas dan Filem Negara Malaysia diletakkan di bawah satu bumbung dan satu jenama pentadbiran.

Apa yang dia tekankan sebagai menteri pada waktu itu adalah peranan terbesar Finas sebagai peneraju industri filem Malaysia ialah membawa filem kita ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

Segalanya tentu sekali sejajar dengan dasar industri kreatif kebangsaan yang bercita-cita mahu memperkasakan filem sebagai salah satu produk negara yang menyumbang kepada ekonomi negara melalui penghasilan produk bermutu bagi memartabatkan warisan seni, sastera, bahasa dan kebudayaan tempatan.

Justeru apa yang dirancang CEO baru Finas itu tentunya suatu yang boleh dianggap merepek dan meraban. Finas seharusnya berfikir untuk mengukuhkan kedudukan ekosistem industri perfileman dengan menyediakan sistem sokongan yang lebih menjanjikan harapan bagi semua pembikin filem tempatan.

Finas tidak lagi wajar memberikan fokus yang keterlaluan terhadap fungsinya sebagai agensi pengagih wang dana kerajaan. Dunia perfileman era moden terlalu luas dan ia teruk dihenyak dengan pelbagai budaya pencemar yang merosakkan.

CEO Finas, Ahmad Idham

CEO Finas itu ada pilihan yang lebih murah dengan fundamental kesan jangka masa panjang yang lebih membawa faedah daripada rancangannya mahu mengeksport bakat kita yang tentunya ada banyak cabaran luar kawalan.

Lima belas manifesto sebagai pelan kerja pengerusi baru Finas pula menarik perhatian.

Salah satunya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sebenarnya hanya mengundang lebih banyak persoalan melucukan.

Entah mengapa secara tiba-tiba dalam era pemerintahan PH ini seorang pengerusi agensi pelaksana seperti Finas tampil mengemukakan manifestonya.

Lebih malang lagi kandungan lain dalam manifesto itu mereka rahsiakan.

Pengerusi sebuah agensi kerajaan seperti Finas seharusnya bercakap tentang polisi dan dasar.

Dalam menyatakan penyediaan pelan dan rancangan hala tuju kerangka baru bagi seluruh industri perfileman dia sebenarnya tidak perlu bercakap tentang hal-hal yang lebih terarah kepada aspek perburuhan dan kebajikan yang tidak strategik.

Dia perlu memikirkan aspek fungsi dan kepentingan Finas sebagai suatu badan pembangunan filem tempatan.

Pengerusi Finas, Hans Isaac

Inilah yang menjadi titik punca kerisauan. Finas dan pentadbirannya kini sudah kabur dari segi fungsi dan peranan. Pentadbir di peringkat eksekutif Finas tidak lagi memahami fungsi Finas yang seharusnya menyediakan kerangka kesuluruhan industri berupa polisi dan dasar yang bersifat pembangunan filem.

Justeru Finas seharusnya bermula dengan pembaikan sistem arkib filem kebangsaan bagi mengumpulkan semua khazanah filem yang pernah kita hasilkan.

Finas sepatutnya memahami khazanah filem lama yang pernah dihasilkan itu juga harus melalui proses restorasi dan pemulihan.

Lalu selepas itu Finas harus menyokong gerakan sinema indipenden bagi mempertingkatkan mutu apresiasi dan menjadikan filem salah satu ilmu pengetahuan dan tidak hanya hiburan.

Finas itu fungsinya adalah untuk membangunkan filem agar rakyat dan masyarakat jadi semakin pandai lalu tidaklah semudahnya terus-menerus diperbodohkan.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.