Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bahasa Orang Asli diancam kepupusan

Komuniti Orang Asli di negara ini mempunyai sejumlah 215,000 yang tinggal di seluruh Semenanjung Malaysia, dari kawasan pendalaman di Kelantan hingga ke pulau-pulau di bahagian Klang.

Suku kaum Semai merupakan kumpulan yang terbesar, dengan jumlah lebih daripada 50,000.

Sukus eperti Bateq, Jahai, Semoq Beri, Jah Hut, Mah Meri, Orang Seletar dan Orang Kuala terdiri kurang daripada 6,000.

Suku kaum paling sedikit Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Che Wong dan Orang Kanaq, semua mempunyai kurang daripada 1,000 bagi setiap suku kaum yang berdaftar.

 

Bahasa dan budaya mereka diancam pupus pada setiap generasi seperti yang pernah terjadi pada satu suku kaum di Negeri Sembilan - Kenaboi yang menggunakan bahasa yang unik.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia Bah Tony berpendapat sebaliknya, kerana suku kaum tersebut akan mengambil langkah tersendiri untuk memelihara bahasa mereka.

Namun, Tony berkata komuniti ini seringkali menghadapi kesukaran untuk memelihara identiti apabila mereka dipaksa untuk berpindah.

“Masalah akan muncul apabila kerajaan mula memindah dan mengumpul semula mereka, dan merasakan Orang Asli sebagai satu kumpulan yang sama.

“Ini satu perkara yang kita tidak patut lakukan lagi, memandangkan setiap tanah, bahasa dan budaya itu adalah unik.

Memastikan bahasa terus terpelihara

Menurut Tony lagi, dengan lebih ramai anak Orang Asli mendapat pendidikan, menjadi tanggungjawab sekolah memastikan bahasa mereka terus dipelihara.

Katanya, bahasa seperti Temiar dan Semai diajar di sekolah yang dihadiri oleh majoritinya pelajar Orang Asli, tetapi agak sukar untuk mengajar lebih banyak bahasa Orang Asli kerana kekurangan guru.

Kamus dan hak tanah adat

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedar mengenai budaya Orang Asli yang kian terancam, memandangkan terdapat pelbagai kajian yang dilakukan berhubung kepupusan bahasa komuniti itu di dunia ini.

“Antara usaha yang diambil adalah kajian berterusan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengkaji bahasa dan penghasilan kamus daripada 18 bahasa,” kata jurucakap Jakoa.

 Bagaimanapun, penyelidik dan aktivis mengenai Orang Asli Colin Nicholas berkata, persoalan tentang keberlangsungan budaya komuniti itu adalah lebih penting daripada menerbitkan kamus.

Nicholas berkata, setiap komuniti mempunyai ruang geografi di mana mereka terikat di bawah sejarah, budaya, pengetahuan dan identiti yang tertentu.

“Selagi komuniti ini berada di bawah pemilikan dan kawalan tanah adat mereka, budaya dan keberlangsungan kaum ini akan dijamin.

“Dan hanya dengan ini, kita boleh mengharapkan agar bahasa-bahasa, pandangan dunia, tradisi dan sistem Orang Asli akan bertahan.

[Baca berita asal]