Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gandingan Hans Isaac, Ahmad Idham rancakkan industri filem

Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan berganding bahu dengan ketua pegawai eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bagi meneruskan usaha merancakkan industri perfileman negara.

Hans Isaac yang baru diumumkan sebagai Pengerusi Finas berkata ekonomi negara yang semakin baik menjadi faktor peningkatan jumlah penonton filem tempatan.

"Saya rasa daripada segi ekonomi, rakyat Malaysia sekarang tengah seronok menonton filem kita, jadi kami nak teruskan agar semua penggiat seni dapat hasil daripada filem-filem mereka sebab filem ini juga memberikan pulangan dan bukan hanya berkarya," katanya dalam segmen RB Ekstra program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (Astro 502) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hans Isaac dan Ahmad Idham masing-masing mempunyai 25 tahun pengalaman dalam industri perfileman dan mereka faham apa yang diperlukan penggiat industri.

"Kami dah rasa segala pahit manis, susah payah dalam industri ini, jadi kami faham apa yang kami harus lakukan sebab apa yang kami rasa dulu itu yang kami nak tukar.

"Cuma kami perlukan sedikit masa kerana saya baru mula dengan Finas, dan Ahmad Idham baru 30 hari. Bagi kami masa sedikit dan kami akan tunaikan janji," tambahnya.

Hans Isaac turut menyatakan penghargaan kepada pemimpin terdahulu Finas, yang menurutnya telah mencuba yang terbaik untuk membangunkan industri perfileman tempatan.

Pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai Pengerusi Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Isnin lepas, bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang memangku jawatan pengerusi sejak empat bulan lalu.

Dalam kenyataan pertamanya kepada Bernama semalam, Han Isaac memaklumkan perancangannya untuk bertemu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lama lagi bagi membincangkan skim Perlindungan dan Kebajikan bagi penggiat seni bebas.

-- Bernama