Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

R Kelly dituduh 'jual' nama Dubai nak lari dari Amerika

Kerajaan Dubai menafikan R Kelly - yang berdepan dakwaan jenayah seksual - bakal mengadakan konsert di Emiriah Arab Bersatu (UAE), seperti didakwa pasukan perundangan penyanyi tersebut.

Pihak berkuasa Dubai juga menyangkal dakwaan peguamnya bahawa bintang R&B itu merancang untuk mengadakan pertemuan dengan keluarga pemerintah.

“Pihak berkuasa Dubai tidak menerima sebarang permohonan bagi membenarkan persembahan penyanyi R Kelly atau (dimaklumkan mengenai) sebarang lokasi telah ditempah untuk tujuan itu.

“R Kelly juga tidak dijemput oleh keluarga diraja untuk mengadakan persembahan,” menurut satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu muncul selepas beberapa hari peguam penyanyi itu, Steeve Greenberg memfailkan permohonan meminta kebenaran bagi membolehkan anak guamnya yang berdepan masalah kewangan mengadakan persembahan di Dubai.

Penyanyi I Believe I Can Fly itu didakwa merancang bakal menggunakan pesawat peribadi untuk bertemu keluarga diraja yang memerintah Dubai serta mengadakan persembahan di sana.

Serah pasport

Menurut laporan Associated Press, antara syarat ikat jamin bernilai AS$1 juta (RM4,070,500) itu Kelly perlu menyerahkan pasport miliknya.

“Kelly mempunyai pekerjaan yang memerlukan dia untuk menjelajah. Dia tak boleh bekerja dan seterusnya tak boleh meneruskan kehidupan sekiranya disekat di Illinois atau AS,” kata Greenberg lagi.

Susulan penafian UAE, Greenberg menjelaskan spesifikasi pemfailan dan menegaskan bahawa Kelly sebenarnya memang mempunyai rancangan untuk melaksanakan persembahan di Dubai.

“R Kelly mempunyai kontrak dengan penganjur yang sah. Sebarang maklumat dimasukkan dalam usul berkenaan adalah daripada kontrak itu. Salinan juga telah diberikan kepada pendakwa.

“Kontrak tersebut menghendaki Kelly bersedia untuk bertemu keluarga diraja dan mengadakan persembahan di Dubai. Ia juga memerlukan Kelly terlebih dahulu mendapat izin untuk pergi ke bandar itu.

“Disebabkan dia belum mendapat keizinan, dapat difahami sekiranya tiada sesiapa telah membuat pelaburan dari segi promosi, menempah lokasi atau memberi publisiti untuk sebarang persembahan,” katanya.

Sementara itu, penafian Dubai mengundang perhatian pihak pendakwaan, Michael Avenatti yang memberi maklum balas melalui ciapannya di Twitter.

“Saya tak sabar untuk melihat apa penjelasan R Kelly berhubung pembohongan secara langsung kepada mahkamah, media dan umum.

“Setiap tindakan menunjukkan bahawa dia menipu berhubung konsert di Dubai dan pertemuan dengan keluarga diraja adalah satu usaha untuk melarikan diri dari negara ini,” katanya.

Tiga mangsa

Bagaimanapun, Greenberg menyangkal dakwaan kononnya Kelly, 52, menggunakan alasan persembahan di Dubai untuk melarikan diri daripada dibicarakan atas dakwaan jenayah seksual.

Kelly atau nama sebenarnya Robert Sylvester Kelly berdepan 10 dakwaan jenayah seksual, sekurang-kurang sembilan daripadanya membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Pendakwa berkata kesalahan itu dilakukan antara tahun 1998 dan 2010. 

Dokumen berkenaan mengatakan sekurang-kurangnya tiga mangsa berusia antara 13 dan 16 pada masa serangan mereka dilaporkan.

Kelly mungkin berdepan hukuman maksimum tujuh tahun penjara untuk setiap kesalahan.