Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bintang K-Pop ditahan akibat rakam, sebar video lucah

Bintang K-Pop Jung Joon-young ditahan polis beberapa jam selepas memohon maaf atas perbuatannya merakam dan mengedarkan klip video seks.

Minggu lalu, penyanyi dan penulis lirik itu mengaku merakam dirinya mengadakan hubungan seks dan menyebarkannya tanpa persetujuan pasangannya.

Video tersebut memaparkan sekurang-kurangnya 10 wanita dan dikongsi pada 2015 melalui aplikasi sembang yang turut disertai anggota kumpulan K-Pop terkenal Big Bang, Seungri.

Semalam Jung hadir ke perbicaraan di mahkamah di Seoul dan memohon maaf atas kesalahan tersebut.

“Saya minta maaf. Saya melakukan kesilapan besar dan tidak boleh dimaafkan, saya mengaku kesalahan itu.

“Saya akan habiskan kehidupan untuk menyesali dosa yang telah dilakukan,” katanya seperti dipetik Daily Mail hari ini.

Seungri

Selepas perbicaraan, Jung, 30 diiringi dengan tangan bergari ke balai polis untuk menunggu keputusan mahkamah berhubung waran tangkapnya.

Dia dan Seungri mengumumkan persaraan daripada industri hiburan minggu lalu. Turut sama mengumumkan persaraan mereka adalah dua lagi penyanyi.

Skandal penyebaran video itu menggemparkan industri hiburan di negara itu, bersama-sama dakwaan Seungri mengatur perkhidmatan seks kepada pelabur berpotensi untuk kelab malam miliknya.

Pada masa sama, negara itu dilanda gejala yang dikenali sebagai "molka" atau video intip yang merakan aksi wanita secara rahsia, biasanya di tandas sekolah dan pejabat.