Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Altimet, Zizi dedah penyanyi rap suka menunjuk-nunjuk

Altimet mendedahkan single terbaru Pendekar Pena, lagu duet bersama Zizi Kirana membawa maksud mendalam yang mengetengahkan keperibadian seseorang penyanyi rap di pentas.

Menurut Altimet, Pendekar Pena berkisahkan seseorang yang suka menunjuk-nunjuk kemampuan pada diri mereka.

“Rapper biasanya akan bercakap tentang betapa bagusnya diri mereka ketika menyanyikan bait-bait kata lirik lagu rap.

“Jadi ia merupakan satu kemestian bagi saya untuk menghasilkan lagu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Pendekar Pena merupakan single kedua dilancarkan Altimet untuk album terakhir O yang dilancarkan Disember lalu.

Antara komposer yang terlibat di sebalik pembikinan lagu ini ialah DJ Biggie, Faliq Auri, Kidd Santhe, Adeep dan Altimet sendiri.

Lagu itu turut mengiringi persembahan The Last Altimet Show depan kira-kira 5,000 peminat di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 17 Februari lalu sebelum Altimet melabuhkan tirai kariernya sebagai penyanyi. 

Bagaimanapun, lagu berkenaan kata Altimet, dinyanyikan dalam prosa Melayu klasik sebagai ‘twist'.

Mengulas mengenai rakan duetnya itu pula, Altimet, 40, berkata, Zizi dipilih kerana yakin dengan kebolehannya membawakan lagu asli dengan baik.

“Pada saya, Zizi merupakan pilihan paling ideal untuk kolaborasi ini,” ujarnya.

Bagi video lirik rasmi Pendekar Pena yang membawa konsep klasik dan menggunakan font klasik, ia diarahkan Abidin Azizi dan Hafiz Mohtar daripada Schizomotion Media and Art. Ia diterbitkan Warner Music Malaysia.

Single Pendekar Pena yang merupakan terbitan Altimet Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Warner Music Malaysia - sebagai pengedar - boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 21 Disember 2018.

Video lirik rasmi Pendekar Pena boleh ditonton di Youtube Warner Music Malaysia bermula hari ini.