Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Nabila 'cabar' netizen, sengaja pakai coli

Penat melayan hamburan netizen, Nabila Huda sengaja tampil berpakaian mencolok mata diiringi kenyataan yang menunjukkan dia tidak kisah sekiranya perbuatannya itu dikecam.

Nabila secara sinis meminta warganet menunggu dengan penuh sabar selain memberi bayangan ada lebih banyak imej yang pasti mencetus pertikaian akan dimuat naik olehnya selepas ini.

“Wahai haters, ada banyak lagi yang akan buat kamu marah. Cuma kamu perlu bersabar,” katanya di Instagram.

Nabila - yang tidak lekang berpakaian seksi - berkongsi pelbagai imej peribadi termasuk kali ini yang mendedahkan bahagian atas badan bertutup dengan coli.

Terdahulu, Malaysiakini pernah melaporkan pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 itu sebelum ini berang selepas pengguna Internet acapkali sengaja mencari setiap kesalahannya.

Anak penyanyi rock terkenal, Amy Search itu juga menyatakan dia tidak lagi mahu tunduk kepada kemahuan pengguna media sosial

Ia susulan rentetan beberapa kejadian tular membabitkan restoran miliknya dan perkataan “bossku” yang mengundang perhatian netizen.

Nabila, 34, juga menuding pengguna Internet hingga dia bertindak demikian.

“Saya tidak memberi sebarang sebab untuk sesiapa benci saya. Mereka reka drama itu kerana cemburu.

“Jika kamu tak suka, tetapi masih mahu ambil tahu setiap perkara saya lakukan, kamu memang peminat tegar,” katanya.