KOLUM | Bendera China merah dan bendera Palestin
Baru-baru ini kita heboh dengan berita bendera China Merah. Dalam masa satu bulan bendera China Merah ini telah dikibarkan tiga kali di tiga wilayah dalam Tanah Melayu.
Pertama kali di Pulau Pinang bila kapal perang China Merah masuk ke pelabuhan. Kali kedua di Teluk Intan. Dan kali ketiga di Johor Bharu. Tiga kali – tiga kali yang mencurigakan. Tiga kali yang menimbulkan syak wasangka.
Biar saya mulakan dengan menerangkan makna istilah yang saya pakai dalam tulisan ini agar tidak disalah tafsir.
Pertama istilah China Merah. Istilah China Merah ini memberi makna China di Tanah Besar. Dulu Bani Melayu termasuk Rahmah Tok Wan saya panggil negeri ini Tongsan.
Ini negara Republik Rakyat China yang didirikan oleh Mao Zedong pemimpin Parti Komunis China pada tahun 1949.
Ada satu lagi negara China. Ini namanya Republik China. Republik China dikenali juga sebagai Taiwan, sebuah negara asing yang didirikan oleh Chiang Kai-sheik pemimpin parti Nasionalis Kuomintang pada tahun 1949. Negara ini memiliki bendera negara mereka sendiri.
Kedua – saya menggunakan panggilan Tanah Melayu. Ini bertujuan untuk memberitahu pembaca bahawa ini nama asal bumi yang kita pijak ini. Nama asalnya ialah Tanah Melayu. Dalam bahasa Inggeris Land of The Malays. Nama Semenanjung Tanah Melayu ini telah diubah jadi Malaya oleh Inggeris tanpa persetujuan Bani Melayu.
Kemudian nama Persekutuan Tanah Melayu ini telah dialih menjadi Malaya dan kemudian Malaysia.
Ini sama seperti Kampung Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi yang telah dialih namanya untuk menjadi Bangsar South. Ada niat jahat di belakang projek mengubah nama-nama ini – satu kisah yang lain.
Mengibarkan bendera China Merah ini menjadi heboh di Tanah Melayu. Menjadi polemik politik. Menimbulkan kemarahan orang ramai. Tuduh menuduh timbul kerana bendera China Merah ini dikibar. Warga Internet marah.
Kenapa ini berlaku? Apa yang menimbulkan polemik? Apa yang menimbulkan kemarahan. Apa latar belakang semua ini?
Untuk memahami kes bendera China Merah ini saya akan membawa pembaca kembali kepada latar sejarah. Pada satu ketika dulu – saya pernah membaca berita dalam Utusan Malaysia. Sekitar tahun 1973 saya terbaca bendera Parti Komunis Malaya (PKM) telah dipasang di atas pencawang dawai elektrik di Selayang.
Polis dan pakar bom serta merta telah menurunkan bendera PKM ini. Pakar bom ikut sama kerana mungkin ada dipasang bom jerangkap bersama bendera.
Di tahun-tahun 60an dan 70an PKM sedang melancarkan perang gerila untuk menjatuhkan kerajaan yang dikepalai oleh United Malays National Organisation. PKM mahu mendirikan Republik Rakyat Malaya.
Pada ketika itu PKM menggunakan bendera parti sebagai senjata perang saraf. Di mana bendera PKM dipasang membuktikan bahawa PKM memiliki sokongan rakyat di wilayah itu.
Bendera dipasang dan dikibar sebagai senjata untuk membuktikan kekuatan. Bendera ditakrif sebagai mewakili negara, parti politik, syarikat atau kumpulan.
Bendera PKM berwarna merah dengan tukul dan sabit ini bukan sahaja diharamkan malah sesiapa yang memiliki bendera ini akan ditangkap, dituduh sebagai komunis atau kader PKM. Justeru Bani Melayu dari awal telah terdidik untuk membenci dan menganggap bendera merah ini sebagai musuh sejati.
Bendera merah, ada tukul, ada sabit atau ada bintang menjadi ikon musuh. Tanah Melayu dan kemudian Malaysia adalah negara yang menganggap komunis itu musuh ketat. Tanah Melayu dan Malaysia adalah negara anti-komunis.
Bani Melayu memusuhi komunis. Tanda utama dan simbol komunis untuk Bani Melayu ialah bendera merah.
Dalam perang saraf kerajaan – dari zaman kerajaan Inggeris lagi komunis ini adalah China. Pendatang China yang kini menjadi warga negara Malaysia akan dilihat dengan was was. Mereka berpotensi menjadi komunis kerana negara asal mereka ialah China Merah atau China Komunis.
Justeru mereka ini wajib disyak sebagai ejen dan talibarut kepada China Komunis yang berniat untuk menakluk Tanah Melayu.
Satu ketika dahulu di dalam pasport warga Malaysia tertera larangan tidak dibenarkan masuk ke China Merah. Negara China Merah dianggap bahaya untuk dilawati.
Latar belakang inilah yang menjadikan Bani Cina di Tanah Melayu disamakan dengan China Komunis. China dan komunis itu dianggap sama. Perang saraf dan propaganda anti-komunis berjalan licin dan berterusan hingga ke hari ini.
Pada 31 Mei 1974 arwah Tun Razak merasmikan hubungan diplomatik dengan China Merah. Malaysia membuka kedutaan di Peking. China Merah membuka kedutaan di Jalan Ampang.
Walaupun ada hubungan diplomatik antara dua negara tetapi sikap dan benci Bani Melayu terhadap komunis dan fahaman komunis yang telah di tanam oleh penjajah Inggeris masih tebal.
Kalau di zaman penjajah nampak sahaja sosok China dalam kebun getah pasti tergambar sosok ini pasti komunis dan wajib dibelasah.
Justeru sejarah inilah yang menjadi sebab utama Bani Melayu di Tanah Melayu marah apabila bendera China Merah dikibar di Pulau Pinang, di Teluk Intan dan di Johor Bharu.
Ini ditambah pula dengan niat jelas lagi terbentang bagaimana China Merah hari ini mahu menguasai Lautan Sunda yang berhadapan dengan Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Lautan Sunda ini kaya dengan minyak dan gas.
Kita selalu terbaca berita bagaimana tentera laut China Merah diusir oleh Filipina dan Indonesia kerana menceroboh dalam perairan mereka.
China Merah klim tanah wilayah di Lautan Sunda ini sampai ke Sabah.
Was-was dan syak wasangka Bani Melayu terhadap bendera China Merah ini diperkukuhkan lagi dengan adanya Bani Cina kaum pendatang yang telah menjadi warga negara di Tanah Melayu. Sentimen anti-China kaum pendatang di kalangan Bani Melayu ini masih kuat.
Persoalan nasional masih belum selesai. Negara bangsa belum wujud.
Pengalaman Perjuangan Selempang Merah Kiyai Salleh masih menjadi cerita rakyat. Pemerintahan 14 Hari Bintang Tiga masih terus menjadi bahan sejarah. Perjuangan Melayu pada Mei 13 di Kuala Lumpur masih segar dalam ingatan.
Babak sejarah dan cerita-cerita rakyat ini ditokok tambah dengan aji-no-moto menjadikan ia lebih sedap untuk didengar. Fakta salah benar tidak dijadikan kemudi dalam babak Melayu lawan Cina di Tanah Melayu ini.
Yang penting untuk Bani Melayu ialah anggapan Bani Cina ini kaum pendatang. Amin.
Apa yang saya tulis ini saya buktikan dengan satu fakta sahaja. Pengumpulan segala surah bendera China Merah ini dihempapkan kepada Parti Democratic Action Party (DAP). Parti DAP ini dituduh sebagai parti Komunis.
Ini tidak benar. Ini tohmahan. DAP bukan Parti Komunis. Malah menuduh DAP sebagai parti komunis adalah satu penghinaan terhadap ideologi komunis. DAP bukan parti komunis. Jangan hina Engles, Marx, Lenin dan Mao dengan menyamakan DAP dengan mereka.
Parti DAP pecahan dari parti People’s Action Party dari Singapura adalah fakta. Sama seperti Amanah pecahan dari Parti PAS.
Kemarahan Bani Melayu terhadap Lee Kuan Yew yang mengambil Singapura dan menjadikan negeri majoriti Cina boleh difahami. Tetapi menuduh DAP parti komunis adalah fitnah.
Semua ini adalah fakta-fakta yang masih berlegar segar dalam pisik Bani Melayu. Justeru melihat saja bendera China Merah dengan serta merta DAP dituduh sebagai dalang. Ini tidak betul. Ini satu tohmahan.
Memasang bendera atau mengibarkan bendera bukan satu kesalahan.
Lihat sahaja bendera Palestin dikibarkan ketika ada tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Amerika. Emak , kakak, abang dan adik memegang bendera Palestin besar dan kecil.
Lihat saja di Chow Kit, di Gombak, di Sentul ada sahaja warung dan rumah yang mengibarkan bendera Palestin. Malah di Blok B Le Chateau Lorong Syed Putra Kiri ada terkibar bendera Palestin. Saya sendiri pun mengibarkan bendera Palestin di balkoni.
Malah minggu lalu saya balik kampung ke Jelebu. Saya nampak di Ulu Klawang, di Kampung Renal, di Kampung Batu Serambai ada terkibar bendera Palestin.
Mengibarkan bendera Palestin bukan jenayah. Ini tanda kita penyokong perjuangan adil rakyat Palestin.
Kalau mengibar bendera Palestin bukan jenayah kenapa mengibar bendera China Merah membawa ke laporan polis ?
Jawabnya mudah. Selain dari apa yang saya tulis di atas kini telah ada perkembangan baru. Perkembangan inilah yang menimbulkan rasa resah dan gelisah Bani Melayu.
Bendera China Merah ini dengan jelas telah dikaitkan dengan DAP. Bani Melayu kini membaca bahawa DAP setelah menjadi kerajaan kini telah naik tocang. DAP dilihat dan dibaca sedang memperkudakan Amanah, PKR dan United Malays National Organisation. Kuasa politik hari ini ditakrif berada di tangan DAP.
DAP dilihat telah berani kerana berkuasa. Justeru ada sosok-sosok Cina – muda dan tua - yang telah berani mengibarkan bendera China Merah. Satu perkara yang mustahil satu ketika dulu.
Bani Melayu sedang melihat cacing naik ke mata. Justeru di Teluk Intan seorang pemimpin DAP dituduh sebagai dalang walhal si Polan ini berada di Kuala Lumpur.
Kibaran bendera China Merah ini dibaca oleh Bani Melayu sebagai permulaan projek untuk China Merah menjajah dan menakluk Tanah Melayu. DAP ini dilihat sebagai ejen dan tali barut China Merah.
Bani Melayu membaca DAP akan sedia bersekongkol dengan China Merah. Ini membawa bahaya besar terhadap Tanah Melayu. Justeru laporan polis dibuat terhadap penganjur yang mengibarkan bendera China Merah.
Dalam sejarah Tanah Melayu – dari zaman kerajaan Langkasuka ke Srivijaya ke kerajaan Melaka hingga ke zaman Malaysia - pemimpin Tanah Melayu dipegang oleh Melayu.
Setelah PRU15 politik Tanah Melayu berubah. Untuk pertama kalinya kepala pemimpin kerajaan di Tanah Melayu ini bukan dari kelompok dan parti yang berteraskan Melayu.
Ini bukan menafikan Anwar Ibrahim sebagai Melayu. Apa yang terjadi sekarang kepimpinan Melayu telah tergelincir. Melayu bukan lagi pemacu kuda tapi jadi kuda tunggangan.
Yang menunggang Melayu ialah DAP.
Inilah yang menjadikan Bani Melayu resah dan gelisah. Manifestasi resah gelisah ini ialah kemarahan Bani Melayu terhadap bendera China Merah. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai