KOLUM | Dari takjub ke taasub, perjalanan minda
Pada satu malam sekitar tahun awal 1990-an, saya menaiki teksi dari Chow Kit untuk pulang ke rumah di Kampung Datuk Keramat. Saya naik teksi depan Keramat Supermarket, kini sudah tiada, berhampiran dengan apa yang sering dipanggil sebagai “Pulau Zaitun”. Ia dipanggil sedemikian kerana terdapat papan iklan besar yang memasarkan ubat gigi Zaitun di tengah-tengah bulatan yang menjadi persimpangan bagi Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda (kini Jalan Raja Muda Abdul Aziz), Jalan Pahang dan Jalan Ipoh (kini Jalan Sultan Azlan Shah).
Kini papan iklan itu sudah lama tiada dan di atas tempat itu terletaknya stesen monorel Chow Kit, laluan KL Sentral-Titiwangsa. Zaitun muncul pada tahun 1978, di awal Era Kebangkitan Islam sebagai ubat gigi popular di kalangan umat Islam negara ini kerana ia meletakkan tanda halal. Sebelum itu tiada ubat gigi yang bertanda halal. Zaitun dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang dimiliki oleh sebuah keluarga Cina Muslim. Kilangnya terletak di Selayang.
Zaitun merujuk pada pelabuhan Zaytun, terletak di China. Kini ia bernama Guangzhou. Pelabuhan ini diwujudkan sejak 1,000 tahun lalu ketika zaman Dinasti Tang dan Song dengan nama Citong. Ia menjadi pusat dagangan laut yang sibuk hingga turut pelaut-pelaut Arab dan Barat termasuk Marco Polo dan Ibnu Battutah yang sampai ke situ. Mereka menyebut Citong sebagai Zaitun dan menyifatkannya “kota pokok zaitun.” Pelabuhan itu menjadi tumpuan pedagang Islam kerana ia menjadi pusat akhir Laluan Sutera darat dan permulaan Laluan Sutera maritim laut. Nama kain satin berasal dari nama kota zaitun ini. Ia juga jadi pelabuhan bermulanya pelayaran Laksamana Cheng Ho yang pernah sampai di Melaka.
Apabila Zaitun hilang dari pasaran pada lewat tahun 1990-an, hampir kesemua ubat gigi yang dijual di negara ini mempunyai tanda halal rasmi. Malah muncullah jenama-jenama baharu yang bernada nama Islam seperti sugi. Jenama terjemuka ubat gigi juga mengeluarkan ubat gigi yang yang ada unsur kayu sugi. Kohilal iaitu koperasi ahli-ahli PAS turut membuat ubat gigi berjenama sendiri. Setelah lama tiada dalam pasaran, dua tahun lalu, Zaitun berusaha menghasilkan semula jenama itu.
Tetapi gerakan menghasilkan produk halal ini dimulakan oleh Arqam sejak ia ditubuhkan pada tahun 1968. Saya dapati ubat gigi berjenama Arqam dijual di Pasar Datuk Keramat pada seawal tahun 1975.
Apabila saya masuk ke dalam teksi di Chow Kit pada sekitar awal tahun 1990-an itu, saya terkejut karena mendapati ia dipandu oleh seorang ahli Arqam. Beliau memakai serban dan jubah hijau, iaitu seragam lelaki Arqam. Pakaian seragam perempuan Arqam adalah purdah hitam. Beliau memasang kaset nasyid Arqam, iaitu kumpulan Nada Murni. Sebuah potret berwarna Ashaari Muhammad ditampal pada dashboard. Di atas itu juga terdapat buku-buku tulisan Ashaari. Sementara di tempat kaset terletak barisan kaset-kaset lagu dan ceramah Arqam. Di tepi pintu ada beberapa pelekat slogan-slogan Arqam. Begitu juga pada cermin depan teksi. Di tempat duduk belakang ada akhbar dan majalah Arqam. Antaranya Al-Munir, Al-Mukminah. Al-Ain dan An-Nasihah.
Pendapatan teksi untuk jemaah
Pastinya pemandu ini adalah bukan saja ahli tetapi pentaasub. Pastinya sebahagian daripada pendapatannya memandu teksi disumbangkan kepada jemaahnya.
Pada tahun 1990, Aurad Muhammadiah difatwakan sesat. Amalan Aurad Muhammadiah diakui dilakukan oleh Arqam pada tahun 1984 dan difatwakan haram pada tahun 1986. Arqam sendiri diharamkan pada tahun 1994. Maknanya walaupun difatwakan haram pada tahun 1986, Ashaari tidak menghentikan amalan itu dan Arqam terus bergerak hinggalah pada tahun 1994 apabila beliau bertaubat dan pertubuhan itu dibubarkan.
Sebahagian ahlinya meninggalkan Arqam kerana tidak mahu lagi terlibat dengan sebuah jemaah sesat. Tetapi mereka yang taasub dengan Ashaari terus bersama beliau. Beliau menubuhkan Rufaqa Corporation untuk meneruskan kegiatan pengikut-pengikutnya. Tentulah pada tahun 1990-an, sudah lahir anak-anak pengikut Ashaari yang lahir dalam jemaah itu dan tidak mengenal dunia luar. Ketaasuban mereka terhadap jemaah dapat difahami kerana itulah keluarga dan dunia mereka.
Apa yang tidak diketahui oleh masyarakat luar ialah betapa fahaman ajaran sesat Aurad Muhammadiah terus diamalkan oleh bekas pengikut Arqam yang berkumpul dalam Rufaqa. Taubat Ashaari dan pengharaman Arqam tidak menjejaskan ketaasuban mereka.
Sememangnya pengharaman Arqam menghalang penyertaan masyarakat. Tetapi bekas ahli-ahli Arqam yang turut serta dalam Rufaqa serta anak-beranak mereka sudah mencukupi untuk mereka terus bergerak. Tentulah anak-anak mereka akan membesar, berkahwin dalam keluarga poligami dan akhirnya beranak-pinak. Anak-anak mereka kemudian diletakkan di rumah amal dan dibesarkan di sekolah mereka.
Walaupun Ashaari sudah meninggal dunia, fahaman Arqam diteruskan oleh pengikut-pengikutnya melalui syarikat Global Ikhwan Services and Business (GISB) yang sedang disiasat pihak berkuasa. Tindakan pihak berkuasa bermula dengan laporan perbuatan jenayah dalam kumpulan itu, iaitu kes liwat. Tetapi dalam siasatan itu, ia membongkar keseluruhan aktiviti kumpilan itu, hinggakan perlu pembabitan tiga kementerian.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Naim Mokhtar, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri membentangkan laporan mengenai GISB kepada parlimen.
“Amat besar,” kata Saifuddin yang mengajak semua ahli parlimen menyokong usaha kerajaan melakukan tindakan ke atas GISB. Maknanya, sebelum ini kerajaan tidak sedar tentang masalah ini walaupun ada laporan pernah dikemukakan pada tahun 2010.
Saifuddin yang pernah menjadi pemimpin pelajar di Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1982 tentu sudah mengenal Arqam. Di kampus, kumpulan ini mencari ahli di kalangan pelajar. Arqam menjadi masalah bagi kumpulan Islam lain kerana mereka menolak politik kampus. Kumpulan pro-Abim atau pro-PAS di kampus yang berjuang atas nama Islam turut terganggu dengan Arqam yang menampilkan wajah Islam melampau atau konservatif. Ketika itu belum diketahui bahawa Arqam itu mengamalkan ajaran sesat.
Indoktrinasi sejak kecil
Apa yang berlaku dalam GISB ini disepakati bahawa ia adalah kerana ketaasuban ahli-ahlinya. Sebahagian daripada mereka diindoktrinasi sejak kecil kerana mereka lahir dalam kumpulan itu. Tetapi apa yang membawa mereka ke jalan kesesatan ini ialah pemimpin-pemimpin mereka yang taasub. Bapa mereka turut bertanggungjawab kerana meletakkan anak-anak pada keadaan sebegitu rupa.
Jadi apakah yang dimaksudkan dengan taasub dan mengapa ia terjadi dalam fikiran seseorang? Kes ketaasuban ahli-ahli Arqam-Rufaqa-GISB ini wajar dijadikan bahan kajian dalam bidang psikologi.
Taasub bermaksud kepercayaan yang melampau kepada seseorang, organisasi atau fahaman. Walaupun ternyata seseorang, organisasi atau fahaman itu salah, pentaasub tidak akan mengubah fikiran. Dalam otaknya ditimbulkan alasan-alasan balas bagi menafikan fakta-fakta yang dikemukakan. Teras ketaasuban itu tidak tergugat. Menurut bekas ahli-ahli Arqam, perubahan fikiran itu amat sukar. Kalaupun berubah, ia memakan nasa. Ada kalanya tragedi diperlukan untuk mengubah fikiran.
Sikap taasub atau obsess boleh dikatakan bermula dengan takjub (impress). Tetapi dalam banyak keadaan, seseorang boleh menjadi takjub tetapi tidaklah sampai kepada taasub.
Sifat taasub ini bukan saja berlaku dalam hal anutan agama. Ia boleh juga berlaku pada fahaman politik atau ideologi seperti komunisme, fasisme dan rasisme. Ia juga boleh berlaku terhadap parti politik dan pemimpin politik. Namun begitu, taasub terhadap fahaman-fahaman sederhana yang tidak memudaratkan masyarakat adalah lumrah dan tidak perlu diambil perhatian. Contohnya taasub pada sesuatu pasukan bola sepak.
Tetapi taasub di jalan sesat dan memudaratkan masyarakat pasti perlu diambil tindakan. Kestabilan dan keharmonian masyarakat boleh terjejas dengan ketaasuban sesat.
Namun begitu jika sesuatu fahaman dan ketaasubannya hanya terdapat dalam minda seseorang dan sebarang amalannya dilakukan secara tersembunyi atau tidak terzahir dalam masyarakat, itu adalah hak kebebasan individu masing-masing.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai