Logo Malaysiakini

KOLUM | Di sebalik politik makanan halal

Dalam soal makanan halal, ada tiga aspek kefahaman. Pertama mengenai keagamaan atau khususnya berhubung ketuhanan, akidah dan tauhid. Kedua, mengenai kemanusiaan dan hubungannya dengan haiwan, nyawa dan makhluk. Ketiga, soal keselamatan nyawa.

Apa saja makanan yang boleh membahayakan manusia adalah haram. Bukan saja babi. Maknanya jika sesuatu makanan itu beracun, atau mengancam kesihatan pemakannya, maka ia adalah diharamkan.

Di Malaysia, ada lagi tiga aspek. Pertama, berkaitan politik. Kedua; sosial dan ketiga, ekonomi. Dari segi politik, soal agama terletak di bawah kerajaan negeri tetapi Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) di peringkat persekutuan ialah pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal.

Jakim pula terletak di bawah Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri dengan menterinya adalah anggota kabinet yang ditubuhkan daripada hasil pilihan raya umum. Maka soal halal makanan turut dikaitkan dengan parti-parti politik orang Islam yang bersaing pengaruh dan undi. Selain itu, soal makanan juga diberi perhatian kepada parti politik bukan Islam kerana ia turut melibatkan perniagaan penyediaan makanan yang pasarannya antara pelanggannya adalah orang Islam.

Rupa bentuk politik negara yang mana Malaysia ini walaupun menetapkan Islam sebagai agama rasmi tetapi ia adalah negara yang ditubuhkan hasil daripada kerjasama orang Islam dengan bukan Islam. Bermula dengan Malaya yang dibentuk daripada kerjasama Melayu, Cina dan India dan kemudiannya Malaysia iaitu kerjasama Malaya, Sarawak dan Sabah di mana terdapat penduduk peribumi beragama Kristian.

Kehidupan bersama antara orang Islam, Buddha, Hindu dan Kristian baik di sekolah, kejiranan dan tempat kerja terutama di pantai barat Semenanjung Malaysia bukan saja menuntut toleransi tetapi juga penerimaan kehadiran penganut agama berbeza. Negara demokrasi yang sekular tidak akan mengizinkan penguasaan sesuatu agama ke atas penganut agama yang kain.

Apa yang menjadi cabaran kepada Malaysia ialah orang Melayu yang merupakan majoriti di negara ini tidak dapat nempunyai kedudukan ekonomi yang setara dengan kaum Cina. Bukan itu saja, penglibatan orang Melayu dalam perniagaan termasuk di bidang makanan juga adalah rendah berbanding kaum Cina. Maka sudah tentu orang Cina lebih cekap dan maju dalam bidang pengeluaran dan makanan.

Dalam keadaan ini, pasti timbul isu makanan halal. Ia ditambah dengan kekurangan dan ketiadaan kepercayaan orang Melayu terhadap orang Cina. Bukan saja prasangka tetapi perasaan curiga-mencurigai antara kaum terus wujud, malah boleh jadi berkembang walaupun negara sudah merdeka selama 67 tahun dan generasi merdeka sudah diganti dengan cucu-cucunya.

Dalam hal ini, sememangnya peranan Jakim dan sijil halal yang cekap serta berwibawa. Tetapi apa yang lebih berkesan dan wajar ialah kepercayaan dan disiplin diri. Maknanya para pengusaha makanan di kalangan bukan Islam melakukan perkara-perkara yang menyemai kepercayaan orang ramai. Maknanya walaupun tidak ada sijil halal tetapi makanan yang disediakan boleh dipercayai halal.

Seperkara lagi ialah perbincangan soal makanan halal ini wajar dibuat dalam konteks hubungan kaum yang harmoni. Maknanya ia bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi membolehkan orang Islam makan di kedai milik orang Cina dan kaum lain-lain.

Ia tidak harus dibuat dengan nada kebencian dan dalam suasana permusuhan orang Islam terhadap penganut agama lain. Ini kerana ada saja sebahagian orang Islam yang bersikap perkauman dan menggunakan isu makanan halal untuk menghina, mendiskriminasi dan bermusuh dengan penganut agama lain. Sememangnya penganut agama berbeza boleh melalui kejutan budaya. Isu makanan halal wajar dibicarakan untuk perpaduan antata kaum dan bukan sebaliknya.

Dari segi sosial dan budaya, perlu kesedaran bahawa cita rasa makanan orang Melayu sudah berubah, iaitu berbanding 50 tahun dulu. Ini antaranya kerana perubahan generasi dan globalisasi perniagaan makanan.

Ketika saya membesar pada tahun 1970-an di kampung di Batu Pahat, tentulah makanan kedai amat terhad berbanding sekarang. Tidak ada kedai mamak walaupun ada mamak usahakan gerai. Tidak ada kedai tom yam. Tidak ada gerai burger. Jauh sekali adanya kedai makanan segera. Ketika itu soal halal tidak timbul. Pekedai atau pengeluar barang hanya memberi jaminan tentang halal dengan menggunakan pelekat “Ditanggung Halal.” Kalau mereka menipu, baru didakwa.

Saya juga ada makan di kedai Cina semasa bersekolah di Kuala Lumpur. Asalkan tiada babi atau ayam yang tidak disembelih ikut Islam.

Gelombang kesedaran mengenai halal muncul serentak dengan “kebangkitan Islam” pada awal 1980-an yang menuntut sistem teratur pensijilan halal. Kumpulan Arqam adalah pihak paling awal berusaha mengeluarkan barangan dan makanan orang Islam. Mereka membuat tauhu, mi, kicap dan lain-lain yang selama ini orang Islam menggunakan produk bukan Islam. Lepas satu generasi, anak-anak orang Islam di Malaysia menjadi lebih peka terhadap soal halal.

Tetapi sekarang setelah satu generasi, anak-anak muda hari ini umpamanya di Selangor menggemari makanan kafe. Bukan saja makanan ‘western’ tetapi juga Jepun dan Korea.

Dengan kedai-kedai yang memerlukan modal besar dan tentu hanya boleh diusahakan oleh kalangan peniaga Cina, maka muncullah banyak kedai makanan berjenama dalam pusat-pusat membeli-belah. Generasi muda termasuk di kalangan orang Islam berpusu-pusu ke tempat ini.

Pada tahun 1980-an, Kemudian timbul idea industri halal. Bilangan umat Islam di dunia semakin besar yang bererti bahawa pasaran mereka juga besar. Ditambah pula jatuhnya Soviet Union dan Yugoslavia yang melahirkan negara-negara orang Islam. Peningkatan pendapatan umat Islam menambah lagi keupayaan pasaran ini. Maka industri halal menjadi lebih besar meliputi bidang kewangan. Maka dunia perniagaan global tentu ingin memasuki pasaran ini. Maka halal bukan saja soal keaganaan tetapi sudah menjadi komersial dan sebahagian daripada sistem kapitalis.

Orang Islam tidaklah homogenous (satu bentuk). Sememangnya secara umum mereka akan makan di kedai milik orang Islam atau kedai bukan Islam tetapi ada tanda halal.

Tetapi tidak semua. Ada sebahagian pula tidak menghiraukan siapa pemilik kedai dan sama ada mereka ada sijil halal atau tidak. Asalkan mereka yakin bahawa makanan yang dijual itu halal, dari segi tiada babi mereka tidak keberatan memasukinya. Golongan ini akan masuk kedai yang ada hanya pelekat “no lard, no pork “ Sebagai panduan sama ada untuk memasuki sesebuah kedai makan atau tidak bukanlah dengan merujuk pada tanda halal tetapi melihat sama ada pekerja-pekerjanya orang Islam; tidak kiralah sama ada Melayu, Indonesia atau Bangladesh.

Ada juga satu golongan orang Melayu langsung tidak ambil berat tentang soal halal. Namun begitu mereka tidaklah makan daging babi. Itu adalah keterlaluan dan dalam psiki (psyche) orang Melayu. Penolakan terhadap babi adalah mendalam. Ia lebih kepada budaya makan daripada soal agama.

Salah satu aspek tentang soal makanan halal adalah ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya. Antaranya ialah mengenai penyembelihan haiwan supaya dagingnya halal untuk dimakan bagi orang Islam.

Pertamanya ialah kaedah penyembelihan hendaklah dengan dilakukan paling minimum kesakitannya pada haiwan berkaitan. Begitu tinggi ajaran agama bagi menghendaki binatang tidak berasa sakit apabila disembelih.

Jadi kaedah tradisi yang diamalkan oleh umat Islam untuk membunuh ayam, itik, kambing dan lembu dipercayai paling kurang memberikan kesakitan pada haiwan berkenaan. Walau macam manapun tentulah sakit itu tetap ada. Tetapi apa yang hendak dipastikan ialah kesakitan itu terletak pada tahap minimum.

Pada asasnya, adalah dilarang membunuh haiwan. Manusia tidak mempunyai hak untuk mencabut nyawa haiwan. Ia hanya boleh dilakukan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan iaitu keperluan manusia untuk memakan haiwan dan memelihara keselamatan dirinya daripada dibunuh dan dimakan oleh haiwan.

Maka jika seseorang manusia membunuh haiwan untuk memakannya tanpa disembelih dengan baik, iaitu tidak meminimumkan kesakitannya, maka dagingnya tidak menjadi halal.

Menghormati nyawa haiwan itu adalah sebahagian daripada perikemanusiaan. Maknanya apa yang disebut sebagai perikemanusiaan bukan saja sikap dan layanan yang baik terhadap manusia yang lain tetapi juga kepada haiwan juga

Sikap berperikemanusiaan itu bukan bermaksud tidak menzalimi sesama manusia saja, tetapi sebagai manusia, seseorang nempunyai sikap mengasihani terhadap haiwan juga. Maknanya menghargai nyawa. Makhluk yang bernyawa termasuklah manusia dan haiwan, tetapi secara tradisinya tidak termasuk tumbuhan.

Maka disebut perikemanusiaan kerana nanusia yang nempunyai kefahaman mengenai sikap mengasihani haiwan.

Sedangkan haiwan dianggap tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap makhluk yang lain. Ini ia kerana dianggap mempunyai akal. Istilah binatang dan haiwan merujuk pada makhluk yang tidak mempunyai kefahaman kemanusiaan atau perikemanusiaan.

Namun semua orang pasti tahu manusia tidaklah semuanya mempunyai perasaan kemanusiaan dan perikemanusiaan. Dalam sejarah dan sekarang pun di mana-mana terdapat manusia yang tidak berperikenanusiaan. Mereka melakukan kezaliman terhadap bukan saja haiwan tetapi juga sesama manusia.

Kaedah penyembelihan yang pasti menjadi syarat ialah melakukannya dengan membaca ungkapan Bismillah iaitu “Dengan Nama Allah”. Sebutan ini adalah berkait dengan akidah. Kupasan mengenai perkara ini adalah panjang dan perlu tulisan lain untuk itu.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.