Logo Malaysiakini

KOLUM | Melihat metamorfosis wanita

KOLUM | Dalam konteks khusus kepimpinan wanita di Malaysia, adalah menjadi satu keperluan untuk mewujudkan model kepimpinan yang merangkumi nilai-nilai dan etika Islam dalam rangka memberdaya wanita untuk mengambil peranan kepimpinan negara. 

Mengintegrasikan prinsip-prinsip maqasid syariah ke dalam inisiatif latihan dan pembangunan kepimpinan, wanita boleh menyumbang secara efektif kepada usaha pembangunan negara. Dengan mendasarkan model kepimpinan dalam etika dan nilai Islam, pembuat dasar dan pihak berkepentingan dapat menggalakkan amalan kepimpinan yang inklusif serta saksama yang mencerminkan kepelbagaian juga kekayaan warisan Islam Malaysia.

Hakikatnya, Malaysia masih belum mencapai kuota perwakilan wanita sebanyak 30 peratus dalam politik secara rasmi sebagaimana ketetapan PBB.

Barangkali, kekurangan peratusan wanita pada peringkat pembuatan keputusan politik menggambarkan wujud isu ketidaksamaan dan pemerkasaan gender dalam politik di Malaysia. Kehadiran ahli Parlimen wanita dalam arena politik adalah penting untuk mewakili suara kaum wanita bahkan kanak-kanak dan semua.

Kebaikan di dunia dan akhirat

Dalam al-Ahkam al-Sultaniyah, Al-Mawardi menyatakan matlamat pemerintahan dan pentadbiran negara adalah siyasat al-dunya wa ad-din, iaitu menguruskan segala perkara untuk mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Kebaikan-kebaikan ini terkandung dalam gagasan maqasid syariah yang mendefinisikan kebaikan di dunia dan akhirat merangkumi penjagaan terhadap kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi manusia di dunia mahupun akhirat (Abdul Rahman, 2015).

Manakala objektif syariah tersebut apabila dilihat di dalam urusan kepimpinan dan pentadbiran pula adalah berkaitan secara langsung dengan kepentingan awam yang berasaskan kepada kaedah fiqh ‘Tasarruf al-imam ‘ala al-ra’iyyah manut bi al-maslahah.’

Maka, perkara utama yang perlu ada untuk memastikan sesebuah negara dapat ditadbir dengan baik berlandaskan maqasid syariah adalah keperluannya kepada seorang pemimpin.

Kerelevanan teori maqasid syariah sebagai asas untuk membangunkan model kepimpinan negara bagi wanita di Malaysia merupakan topik yang mendapat perhatian yang hangat sejak kebelakangan ini. Maqasid syariah menyediakan kerangka yang komprehensif untuk memahami matlamat dan prinsip-prinsip perundangan Islam.

Dalam konteks kepimpinan dan pentadbiran, maqasid syariah menawarkan pandangan yang wajar mengenai dimensi etika dan moral kepimpinan, yang sesuai dengan latar belakang sosiobudaya di Malaysia.

Tidak terkecuali, beberapa sarjana telah meneroka aplikasi maqasid syariah dalam model pentadbiran dan kepimpinan kontemporari dengan menekankan potensinya untuk menangani cabaran-cabaran semasa sambil tetap berakar dalam prinsip Islam sebagaimana yang diperincikan dalam siasah al-syar’iyyah.

Bagi merealisasikan sesebuah kepimpinan negara menepati maqasid syariah, maka penerapan siyāsah syar’iyyah perlu menjurus terhadap pemeliharaan maqasid syariah. Sebagai contoh, Meerangani (2021) mencadangkan beberapa langkah demi mencapai hasrat tersebut iaitu pentadbiran berasaskan siyāsah syar’iyyah mestilah menjaga prinsip berikut:

  • Menepati maqasid syariah terdiri daripada prinsip-prinsip dan asasnya samada al-ḍarūriyyāt, al-ḥājiyyāt dan al-taḥsīniyyāt

  • Menjadikan maqasid syariah sebagai ukuran dan rujukan dalam persoalan dan masalah baru berkait urusan umat

  • Menentukan hukum baru berdasarkan kaedah maṣāliḥ mursalah dan maqasid syariah

  • Merealisasikan maqṣad al-takāful antara anggota masyarakat dan keadilan masyarakat.

Maka, perlunya kejituan antara siyāsah syar’iyyah dan maqasid syariah dan golongan yang terlibat dengan hal ehwal pemerintahan menjadikan maqasid syariah sebagai dasar-dasar pentadbirannya.

Tahap rendah

Tahap keterlibatan Wanita dalam kepimpinan tertinggi negara masih berada di aras yang rendah. Pelbagai usaha daripada pelbagai pihak dijalankan demi meningkatkan pemberdayaan wanita menerusi ruang kepimpinan negara.

Penyertaan politik wanita merupakan salah satu petunjuk pertumbuhan sosial yang paling penting dan sejauh mana kumpulan yang berbeza dalam masyarakat berinteraksi antara satu sama lain.Oleh itu, penyertaan politik wanita berkait secara langsung dengan status wanita dalam masyarakat.

Keterlibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara masih menghadapi cabaran yang ketara. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan pemberdayaan wanita dalam ruang kepimpinan negara, namun tahap pencapaian masih dianggap rendah.

Fenomena yang menarik di Malaysia, sebagaimana kata penganalisis politik UUM  Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, penyertaan wanita dalam arena politik telah diiktiraf dan menunjukkan peningkatan.

Pelantikan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri turut membuktikan penyertaan wanita dalam pentadbiran negara telah diiktiraf.

“Namun begitu, kedudukan penyertaan wanita dalam Parlimen Malaysia khususnya di Dewan Rakyat masih sangat rendah berbanding lelaki. Perwakilan ahli parlimen wanita di Parlimen Malaysia tidak seimbang dengan bilangan

pengundi wanita yang lebih tinggi daripada pengundi lelaki,” katanya.

Landasan relevan

Dalam konteks ini, teori maqasid syariah muncul sebagai satu landasan yang relevan bagi pembangunan model kepimpinan Malaysia khususnya bagi wanita. Teori ini, yang merangkumi objektif-objektif pensyariatan hukum syarak, menawarkan prinsip-prinsip yang dapat membentuk model kepimpinan yang inklusif.

Maqasid syariah adalah rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan dasar model kepimpinan negara oleh wanita. Ini kerana maqasid syariah memberi tumpuan kepada prinsip kesejahteraan manusia secara keseluruhan yang meliputi keadilan, kesejahteraan sosial, dan hak-hak individu.

Selain itu, maqasid syariah menekankan peri pentingnya keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam kepimpinan. Ini bermaksud kepimpinan wanita dalam negara harus dipandang melalui lensa keadilan di mana wanita diberikan peluang yang sama untuk memimpin dan menyumbang kepada masyarakat. Ia termasuklah peluang yang adil dalam pendidikan, ekonomi, dan politik.

Sebagaimana menurut Professor Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr Sharifah Haayati, tadbir urus negara sedia ada kebanyakannya menepati prinsip maqasid syariah.

“Jika dilihat tadbir urus di negara kita telah banyak berasaskan maqasid syariah. Jadi jika tadbir urus negara ini, kita lihat daripada sudut maqasidnya, ia boleh diguna pakai dalam apa jua spektrum kehidupan termasuklah aspek wanita dan kepimpinan. Sebab leadership itu perlu berlandaskan maqasid tersebut,” katanya lagi.

Sebagaimana kita tahu, asasnya adalah maslahah.

Tiada maslahah maka tiada maqasid dan tumpuannya kepada 3 perkara iaitu:

  • Jalbul maslahah (جلب المصالح ) - membawa kebaikan

  • Dar ul masfadah (درء المفاسد ) - menghindar keburukan

  • Izalatul mudharah (اذالة المضرة ) – membuang kemudaratan.

Hakikatnya, pandangannya seiring dengan pandangan ulama silam dan kontemporari yang menegaskan ruang kepimpinan merupakan ruang yang luas terbuka kepada ijtihad demi menyantuni isu-isu baru.

“Ia bertepatan sekali dengan gagasan teori maqasid syariah yang mempromosikan maslahah dan mengelakkan kemudaratan daripada manusia sejagat dalam apa jua keadaan,” kata bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik dan Dr hamidah Mat dalam bukunya Siasah Madani.

Oleh yang demikian, maqasid syariah menyediakan asas yang kukuh dan komprehensif untuk model kepimpinan negara oleh wanita kerana ia menekankan prinsip-prinsip keadilan, kesejahteraan dan hak asasi manusia yang penting untuk pembangunan sebuah masyarakat yang adil lagi sejahtera.

Dengan mengintegrasikan prinsip-prinsip maqasid syariah dalam kepimpinan, wanita boleh membawa perspektif yang unik dan berharga dalam usaha membangunkan negara yang lebih inklusif dan progresif selain gagasan yang dibawa memperjuangkan maslahah bukan sahaja kepada rakyat dan negara, malah kepada wanita itu sendiri sebagai individu yang sudah sedia ada mempunyai peranan yang pelbagai dalam masyarakat.


ATRIZA UMAR adalah felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.