Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Senivisme dari Pretoria, Afrika Selatan

KOLUM | Pertama kali sahaya di bumi Afrika. Lupakan Wakanda, bikinan Hollywood; tetapi kehadiran sahaya di konferens Artivism atau Senivisme di Pretoria, Afrika Selatan antara 5 sehingga 10 September lalu telah banyak merubah sudut pandang sahaya.

Ternyata Afrika, sangat menggoda. Kekayaan seninya begitu dicemburui, bukan itu sahaja kesepaduan dengan teknologi, katakanlah AI, sedang diterokai dengan pesat. Pada saat kita baru terkial, mereka di sini sudah begitu ke hadapan.

Di konferens Senivisme anjuran bersama Universiti Tshwane, Yayasan RikyRick, Majlis Bandaran Tshwane, Global Commons Alliance dan Community Arts Network aktivis atau penggiat seni dari pelbagai lapangan dihimpun dan diberi tenaga baru untuk melawan.

Tentu Afrika Selatan, markas Senivisme ini menawarkan penekanan kepada kejayaan sejarah mereka menumpaskan aparteid, dan di Pretoria, mereka ingin bercerita dan berkongsi bagaimana Afrika Selatan melakukannya. Dalam konferens ini aktivis seni yang terdiri daripada pelakon, pengamal teater, penari, birokrat seni, sarjana budaya, pereka fesyen, pekerja filem dan pemuzik dihimpunkan untuk memperbaharui pemikiran dan pendirian terbuka mereka.

Mereka diingatkan, kuasa seni budaya mengatasi kuasa politik, agama dan ekonomi.

Penggiat diingatkan, dunia seluruhnya bermula dengan seni.

Mengangkat kesedaran sosial

Secara mudahnya, Senivisme adalah apabila artis menggunakan kreativiti mereka menerusi wadah seni budaya untuk mengangkat kesedaran masalah sosial seperti diskriminasi, isu hak asasi manusia dan juga masalah alam sekitar.

Hadirin diingatkan bagaimana penggiat seni di Afrika Selatan dengan jayanya melawan aparteid menerusi kerja seni mereka, dari genre muzik jazz yang menentang, kepada novelis yang berjuang dengan pena, membawa kepada suara rap yang menajamkan semangat penentangan.

Protes drama dan wayang di Afrika Selatan menjadi aktivisme budaya yang luar biasa dan menggelombang sehingga Afrika Selatan berasa bertanggungjawab untuk menebarkan kisah sukses mereka ke seluruh pelusuk dunia.

Di sela pertembungan dan percakapan antara aktivis seni yang rohnya memberontak ini disisipi pula pameran poster melawan, pameran fotografi dengan kesedaran sosial, atau muzik yang mempunyai erti dan dokumentari yang intinya mengingatkan - seni boleh menewaskan kekuatan yang jahat.

Ada banyak perbahasan dan bengkel dianjurkan serentak. Misalnya bagaimana Beatriz Itzel Cruz Megchun menginisiatif duduk seni agar dapat digunakan untuk membuatkan pengunjung tandas awam berasa selamat dari diintai, diganggu secara seksual dan dalam masa yang sama tandas tersebut memberikan kebersihan yang sepatutnya.

Atau ada gerakan daripada pelakon di Afrika Selatan pimpinan Jack Devnarain yang berhasrat menggerakkan agar semua elitis seni dari seluruh dunia menghormati profesyen lakonan. Ini, dengan meniru sepertinya di Brazil, di mana pelakon misalnya mempunyai hak yang termaktub untuk beroleh royalti dari kerja seni lakon mereka. Maknanya sekali berlakon, tiap kali filem atau kerja tivi mereka itu berputar, para pelakon ini akan beroleh hak kerja seni itu menurut peratusan kemunculan di skrin.

Di sisi lain ada pemuzik punk, Declan Welsh dari Scotland menyuarakan resah Palestina setelah melawat tebing Barat pada tahun 2016. Atau bagaimana Nisha Abdulla dari Bangalore menggunakan dramaturgi untuk merubah persepsi masyarakat kepada pentas yang mengangkat topik dan isu orang tertindas. Terdapat juga seniman dari Palestina seperti Yousef Qaraeen dan Moe yang datang dengan payah dan susah untuk memberitakan posisi seni di wilayah diduduki itu.

Manakala aktivis seni yang bekerja dengan golongan rentan seperti Konstantina Roussou, Nikoletta Polydorou dan Grant Clark ikut berkongsi pengalaman masing-masing, tentang bagaimana membangkitkan semangat wanita, orang kurang upaya, orang miskin, imigran pelarian, dan mangsa perang atau penindasan. Perkongsian luar biasa ini membolehkan penggiat seni berbuat sesuatu yang melongokan - solidariti dan memahami cara untuk melawan penindas, baik dalam bentuk kuasa politik, mahupun pendana kapitalis yang mengutamakan hanya keuntungan.

Konferens juga tidak mengetepikan suara muda. Sebahagian besar konferens ini memberi ruang, peluang, dan juga suara untuk aktivis seni muda memimpin. Mereka bukan sahaja membuat persembahan, tetapi berdiri sama tinggi dengan aktivis seni yang lebih berusia.

Misalnya ada persembahan muzik Ikusasa Lethu, ensembel tari dan muzik yang objektifnya adalah memberi dunia yang selamat untuk generasi hadapan. Pertemuan ini menyediakan dialog yang sepadu manca generasi.

Pokoknya penggiat seni berbincang bagaimana mereka dapat menakluk polisi awam, menyeberang ketidaksetaraan struktural dalam masyarakat, menghapuskan diskriminasi gender, menumbuhkan pendekatan yang berpusat kepada masyarakat, di samping meneriakkan reformasi komprehensif. Ini semua mesti dilakukan dengan pengukuhan teori, campur tangan seni, berhubung dengan masyarakat dan menejermahkan secara kritis agenda seni budaya yang manusiawi.

Sahaya sebetulnya berasa terkejut dengan kepesatan cara berfikir di Afrika. Mereka bersedia, terbuka, canggih, cekatan dan berjaya mensinergikan seni dan teknologi secara intim untuk memimpin dunia. Kalau alam Melayu terhegeh bertatih mengangkat kearifan lokal, Afrika telah pun menggunakan kearifan lokal yang dipaut kemodenan untuk memimpin masyarakat.

Bukan itu sahaja konferens sangat meraikan diversiti; makanan halal yang mewah untuk beberapa peserta cuma, dua tiga peserta pekak bisu dibekalkan sekumpulan penerjemah bahasa isyarat yang tidak sedikit pun lelah, dan di sini tiada bahasa perkauman, ketuanan atau kelakian. Penganjur konferens antarabangsa di Malaysia perlu belajar dari Afrika.

Perkumpulan di kota jacaranda ini sepenuhnya digerakkan oleh antara lain Profesor Nalini Moodley dari Fakulti Seni dan Perekaan Universiti Teknologi Tshwane, Mike Fleisch dari Global Commons Alliance, Kumi Naidoo dari Yayasan RikyRick; dan dibantu oleh Anis Barnat, Chats Devroop, dan Pooja Pradeep.

Moga-moga gerakan Senivisme yang dipimpini Afrika Selatan ini akan marak dan semarak lantas harumnya merebak ke seluruh dunia. Ya, bukan Barat lagi memimpin seni, tetapi Afrika.

Tenaga Senivisme (kegiatan seni untuk manusiawi sebenar) bakal dirasai tahun ke tahun.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.