KOLUM | Dari Dickson Street ke Jalan Masjid India
Pada zaman kolonial, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dikenali sebagai Dickson Street. Ia bermula dari simpang Malay Street - sekarang bernama Jalan Melayu - hingga ke Jalan Bunus.
Terdapat sebatang sungai kecil di situ bernama Sungai Bunus yang mengalir ke Sungai Klang. Pada kurun ke-19, terdapat perkampungan orang Mandailing sepanjang tebing sungai itu. Nama Kampung Bunus sempena ketua komuniti mereka bernama Jabanus yang dipanggil Tok Bunus. Mandailing adalah salah satu suku kaum Melayu yang berasal dari Sumatera.
Malay Street yang bermula dari Java Road, kini Jalan Tun Perak tembus ke Batu Road, sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di Malay Street terdapat penempatan orang Melayu, mereka datang dari Sumatera. Di situ ada sebuah pasar yang terletak di simpang Dickson Street dan sebuah sekolah Melayu.
Kini bangunan-bangunan di Jalan Masjid India ialah Masjid India, Wisma Yakin, Malayan Mansion, Selangor Mansion, Mydin dan paling hujung ialah Semua House.
Tempat yang muncul lubang dan menyebabkan seorang pelancong jatuh terletak berhampiran dengan sebuah bangunan yang berada di Jalan Masjid India ke arah Jalan Bunus.
Pertama kali saya pergi ke Jalan Masjid India ialah pada tahun 1967. Pada masa itu baru 10 tahun Malaya merdeka. Perdana menteri ialah Tunku Abdul Rahman. Malaysia baru berusia empat tahun. Ketika itu saya berusia lapan tahun dan berada dalam darjah dua.
Bapa membawa saya ke situ kerana hendak membeli baju raya dan songkok Ketika itu, kami tinggal di Kampung Datuk Keramat. Untuk ke situ, kami menaiki bas dan turun di Lebuh Ampang, nama asalnya ialah Ampang Street. Kami berjalan di sepanjang Jalan Mountbatten - nama sekarang ialah Jalan Tun Perak - untuk ke Jalan Melayu.
Pada masa itu, bangunan Wisma Yakin belum dibina. Maka di depan Masjid India itu adalah kawasan lapang yang mana banyak gerai orang Melayu berniaga. Kebanyakan gerai di situ menjual pakaian.
Semasa saya pergi ke situ, Selangor Mansion dan Malayan Mansion sudah ada. Begitu juga dengan Masjid India. Tetapi bangunan masjid itu kelihatan baru. Sudah tentu begitu sebab masjid itu dibina pada tahun 1965. Kami bersolat di situ sebelum pulang. Apa yang menghairankan saya ketika itu ialah betapa ramai orang India di situ.
Nama asal Jalan Masjid India, iaitu Dickson Street, mengambil sempena nama Sir Frederick Dickson yang merupakan setiausaha kolonial bagi Negeri-negeri Selat dari tahun 1985 hingga 1891. Pejabatnya di Singapura. Dia adalah pegawai yang mencadangkan supaya ditubuhkan pelabuhan Port Dickson pada tahun 1887. Berkemungkinan Dickson tidak pernah datang ke Kuala Lumpur apatah lagi menjejakkan kakinya di Dickson Street. Di Singapura terdapat juga Dickson Road di Kampong Kapor yang kini sudah tidak wujud.
Pada tahun 1889, di Dickson Street terdapat sebuah masjid bernama Masjid Kampung Melaka yang didirikan oleh Encik Baki, bapa mertua Haji Abdullah Hukum. Kampung Melaka yang sebenarnya terletak di Malacca Street dan kini bernama Jalan Melaka. Asalnya Kampung Melaka adalah penempatan orang Melayu yang berhijrah dari Melaka. Tetapi kampung itu kemudian menjadi semakin besar untuk meliputi rumah dan gerai di Malay Street dan Dickson Street. Abdullah Hukum ialah seorang pemimpin masyarakat yang memperoleh jawatan dari Sultan Selangor.
Masjid paling awal di Kuala Lumpur terletak di Jalan Tun Perak, berseberangan dengan Masjid Jamek sekarang yang dipisahkan oleh Sungai Klang. Masjid ini didirikan oleh orang Mandailing yang diketuai oleh Sutan Puasa, pengasas Kuala Lumpur. Perkampungan orang Mandailing terletak di sekitar Jalan Ampang. Pada masa itu Jalan Tun Perak bernama Java Road kerana sepanjang jalan itu ada penempatan orang Jawa. Sementara tapak Masjid Jamek sekarang ini adalah pangkalan perahu yang dinamakan Pangkalan Lumpur.
Java Road ditukar nama kepada Mountbatten Road pada tahun 1945. Pertukaran nama itu mendapat bantahan orang ramai. Lord Mountbatten ialah komander tertinggi Pasukan Berikat yang menerima dokumen serah kalah oleh Jepun. Pada tahun 1961, ia bertukar nama kepada Jalan Mountbatten. Hanya pada tahun 1981 ia bertukar menjadi Jalan Tun Perak.
Setelah Masjid Jamek dibina pada tahun 1909, masjid lama Kuala Lumpur dirobohkan. Kini ia bernama Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
Pada tahun 1967, Jalan Melaka adalah stesen bas dan teksi bagi penumpang yang mahu ke destinasi-destinasi menghala ke Kuala Selangor, Perak dan Pahang. Saya lihat ada pokok-pokok hutan besar di tebing Sungai Klang bersebelahan jambatan Jalan Mounrbatten. Di bawah pokok terdapat bangku-bangku panjang yang mana pemandu dan penumpang duduk menunggu. Ada beberapa tukang gunting beroperasi di bawah pokok besar. Pecahan-pecahan cermin digantung pada batang pokok.
Kini di kawasan itu terletak stesen LRT Masjid Jamek dan Menara Bumiputera yang merupakan ibu pejabat Bank Muamalat. Bangunan lama yang masih ada kini ialah Oriental Building. Pada tahun 1967, ia menempatkan pejabat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia. Kini pejabat itu sudah pindah ke Jalan Pahang.
Masjid Kampung Melaka di Dickson Street itu sering dikunjungi oleh jemaah India Muslim dan kemudiannya dipanggil sebagai Masjid Keling, Masjid Chulia dan Masjid India Selatan. Akhirnya masjid itu dirobohkan dan dibina bangunan baru dan cantik pada tahun 1965 dengan nama Masjid India. Maka Dickson Street yang telah bertukar nama Jalan Tun Tijah, berubah nama kepada Jalan Masjid India.
Maklumat ini sebahagiannya saya peroleh dari buku Kuala Lumpur Street Names oleh Mariana Isa dan Maganjeet Kaur yang menyelidik dokumen-dokumen lama mengenai nama jalan di Kuala Lumpur.
Pada tahun 1975, saya sering juga solat Jumaat di Masjid India. Di situ khutbahnya adalah dalam bahasa Tamil. Di Malaysia, komuniti India Muslim sering membina masjid sendiri. Masjid mereka yang paling besar ialah Masjid Kapitan Keling di Georgetown. Terdapat juga Masjid India di Ipoh dan Seremban, begitu juga di bandar-bandar kecil di pantai barat Semenanjung Malaysia. Di Kuala Lumpur, ada juga Masjid Pakistan yang khutbahnya dalam bahasa Urdu.
Sejak sebelum merdeka lagi, kawasan Jalan Masjid India didiami oleh orang dari India Selatan, khususnya dari Tamil Nadu. Mereka bukan saja dari kalangan orang Islam tetapi juga penganut Hindu. Selepas Malaya mencapai kemerdekaan, tentulah kerajaan mahu menjadikan Kuala Lumpur kemas dan berwibawa sebagai ibu kota negara berdaulat. Kuala Lumpur juga merupakan ibu kota negeri Selangor. Maka dibina dua bangunan tinggi sembilan tingkat untuk kediaman dan perniagaan berhampiran Masjid India.
Maka Malayan Mansion dan Selangor Mansion menjadi mercu tanda bagi Jalan Masjid India. Dipercayai ia didirikan pada tahun 1965. Ketika itu, ia boleh dianggap sebagai bangunan paling moden, lebih-lebih lagi ia bangunan pertama di Kuala Lumpur yang memiliki lif.
Pada tahun 1976, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuka bangunan Wisma Yakin di depan Masjid India. Bangunan ini menempatkan pejabat, kedai dan restoran. Orang Minang dari Indonesia ada membuka restoran dan kedai buku di situ. Dahulu ada sebuah kedai bernama Pustaka Indonesia. Kini ia sudah menjadi Pustaka Rezeki Harapan dan di tingkat dua ada Pustaka Fajar Ilmu Baru yang menjual buku-buku lebih serius.
Pada tahun 1975, ketika saya sering ke situ kerana bersekolah tidak jauh, ada dua kedai buku di Selangor Mansion iaitu Pustaka Melayu Baru yang turut menerbitkan novel. Satu lagi kedai buku di hujung bangunan menjual buku-buku Kristian Evangelikal. Sementara di belakang Masjid India ada sebuah kedai buku Pustaka Adinda yang juga menjual buku dari Indonesia.
Dari dulu lagi, Wisma Yakin terkenal sebagai tempat jual beli kitab dan buku agama secara borong. Malah ada yang dijual beli menggunakan timbang.
Pada awal 1980-an, Masjid India juga menjadi pusat kegiatan jemaah Tabligh. Setiap Sabtu, mereka berkumpul di situ. Mereka turut menginap dan makan beramai-ramai. Keadaan berlangsung bertahun-tahun sehinggalah jemaah itu pindah ke masjid mereka di Seri Petaling.
Ketika mana orang Cina Kuala Lumpur tertumpu di sekitar Jalan Petaling, Jalan Pudu, Jalan Bukit Bintang dan lain-lain, pusat komersial orang Melayu dan India bertumpu di kawasan sekitar Jalan Masjid India pada awal sejarah Kuala Lumpur. Kemeriahan hidup yang boleh disaksikan di tempat-tempat sedemikian menzahirkan makna negara Malaysia bukan saja bagi warganya tetapi para penghijrah yang turut mencari rezeki di tanah air bertuah ini.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai