Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

KOLUM | Rosak dari akar ke ranting

KOLUM | Peminat sukan bola sepak pasti masih ingat bagaimana Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia berjaya memukau orang ramai dengan upacara pembukaan kejohanan itu di Stadium Al Bay.

Upacara pada Nov 2022 itu dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang.

Ia bermula dengan susunan plot yang menampilkan dialog di antara dua narator iaitu aktor terkemuka dunia, Morgan Freeman, dan selebriti kelainan upaya, Ghanim al-Muftah.

“Saya mendengar sesuatu yang indah. Bukan sekadar muzik, tetapi juga panggilan untuk keraian,” ujar Freeman.

“Bola sepak menyatukan semua negara dan kasih sayangnya demi sebuah permainan yang indah. Apakah yang menyatukan negara-negara ini turut menyatukan komuniti?

"Sekarang, dunia seakan-akan terlihat sudah semakin berpecah belah. Bagaimana negara, bahasa dan budaya yang pelbagai ini dapat disatukan, kalau satu cara yang boleh diterima oleh semua?”

Ghanim menjawab persoalan itu dengan memetik ayat ke-13 surah Al-Hujurat:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Tambah al-Muftah lagi: “Kita dibesarkan untuk percaya yang kita semua bertaburan di atas muka ini dengan pelbagai negara dan kaum supaya kita boleh belajar daripada satu sama lain serta mencari keindahan dalam perbezaan.”

Freeman: “Sekarang barulah saya nampak, sekarang apa yang menyatukan kita di sini pada saat ini adalah lebih agung daripada apa yang memisahkan kita. Jadi apa yang boleh agar ia kekal lebih dari hari ini sahaja?”

Al-Muftah: “Dengan tolak ansur dan hormat-menghormati, kita boleh hidup di bawah sebuah rumah besar. Apabila kami menjemput anda ke sini, kami sememangnya mengalu-alukan kedatangan anda ke rumah kami.”

Freeman: “Jadi, kita berkumpul di sini sebagai satu bangsa, dan bumi ini adalah khemah untuk kita semua tinggal bersama di dalamnya.”

Al-Muftah: “Ya, dan bersama-sama kita sampaikan mesej ini ke seluruh dunia untuk menyertai kita semua.”

Situasi itu sedikit sebanyak menimbulkan kekaguman kerana buat kali pertama dalam sejarah, ayat suci al-Quran yang menjadi panduan hidup umat Islam dipetik dalam upacara pembukaan kejohanan bola sepak paling berprestij di atas muka bumi ini.

Namun demikian, wajar untuk kita renungi pula senario bola sepak di negara kita. Tanpa mengira jantina, warna kulit, kaum, agama dan kerakyatan, sukan ini dinikmati oleh semua golongan tidak kira kanak-kanak, dewasa, orang tua.

Bersorak demi Malaysia

Persoalannya, adakah bola sepak di negara kita ini berjaya menjadi alat perpaduan, atau sebaliknya?

Jika dilihat dari konteks ‘Malaysia’ secara lebih meluas, sejak mencapai kemerdekaan kita secara bersungguh-sungguh menjadikan kepelbagaian kaum di negara ini suatu keunikan.

Kita boleh sahaja bermain atau menonton bola sepak bersama rakan-rakan daripada kaum berbeza. Semuanya bersepakat untuk menjadikan sukan sebagai salah satu medium menyemai perpaduan.

Mengimbau kegemilangan suatu ketika dulu skuad bola sepak Malaysia pernah diperkukuhkan oleh pemain dari pelbagai latar belakang.

Dalam skuad kebanggaan ramai itu ada Mokhtar Dahari, ada R Arumugam, Soh Chin Ann, Santokh Singh, dan ramai lagi.

Mereka ini bukan sahaja mampu membentuk keserasian di atas padang, bahkan berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum untuk sama-sama memberi sorakan atas nama Malaysia.

Jadi mengapa hari ini seolah-olah wujud tembok yang memisahkan atau memecahkan perpaduan rakyat?

Entah di mana silapnya, bola sepak hari ini seolah-olah lebih condong untuk menjadi ejen permusuhan dan alat memarakkan kebencian.

Yang kita mahukan adalah tumbuhnya bakat-bakat baru yang mampu meletakkan bola sepak Malaysia ke martabat yang tinggi di pentas dunia. Akan tetapi, perhatikan komen-komen di media sosial - penuh dengan sumpah seranah, makian dan cemuhan.

Saban hari kita sebenarnya melahirkan lebih ramai penyokong yang taasub kepada pasukan berasaskan negeri, malah - lebih buruk daripada itu - batang tubuh tertentu.

Mangsa golongan ‘bocah’

Keadaan itu seolah-olah memancarkan isyarat bahawa perpecahan di negara kita tidak lagi berlandaskan latar belakang masyarakat yang berbeza, malah dicarik-carik pula kepada sempadan kenegerian.

‘Perhitungan’ antara dua pasukan yang sepatutnya diselesaikan dengan pertarungan taktikal di atas padang kini dicemari dengan ‘peperangan’ antara pentaasub.

Semuanya berbalik kepada sikap. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa bola sepak di negara ini boleh diibaratkan seperti sebatang pohon yang rosaknya dari akar hingga ke ranting.

Di peringkat akar umbi lagi sudah terlihat sikap ‘tidak semenggah’ ibu bapa dan jurulatih yang gagal menampilkan contoh baik buat generasi muda.

Sudah ada aksi-aksi provokasi serta mengeluarkan kata-kata kesat dari tepi padang.

Di kejohanan peringkat sekolah juga pemain hingusan sudah berani menunjukkan belang dengan membuat kekasaran melampau terhadap pemain lawan.

Malah terdapat juga kes pengadil turut menjadi mangsa kepada golongan ‘bocah’ itu.

Meskipun kita boleh beranggapan kelompok terbabit tidak mewakili majoriti rakyat negara ini yang masih cekal menolak perpecahan, namun jika ia tidak dibendung, pasti ‘barah’ tersebut akan terus merebak untuk meracuni pemikiran masyarakat.

Sungguhpun setiap manusia itu diciptakan mempunyai emosi, namun Tuhan juga mengurniakan kita akal untuk berfikir dan menilai secara rasional.

Adakah setiap butir perkataan yang dituturkan atau dicoretkan menjadikan kita seorang individu yang menghidupkan nilai perpaduan atau memarakkan api kebencian?

Berubahlah. Masih belum terlewat untuk kita menjadi seorang warga bertanggungjawab dalam melindungi bumi bertuah yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-67.

Hayatilah bait-bait lirik lagu Negaraku yang kita nyanyikan bersama setiap kali perlawanan bola sepak bermula.

Negaraku
tanah tumpahnya darahku
rakyat hidup
bersatu dan maju
.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.